Berita

Isu siling runtuh: Menteri Kesihatan digesa beri penjelasan atau berdepan pemotongan gaji

KUALA LUMPUR, 15 NOVEMBER: DAP hari ini menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam memberi penjelasan segera berhubung siling Hospital Serdang yang sudah empat kali runtuh.

Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata, Subramaniam wajar dipotong gaji jika beliau gagal memberi penjelasan kukuh, bukannya jawapan ‘kitar semula’ seperti dilakukan menteri terdahulu, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Hospital Serdang  beroperasi sejak Disember 2005 dan  keruntuhan siling berlaku sebanyak empat kali dalam masa lapan tahun. Mungkin insiden siling  Hospital Serdang runtuh boleh mencatat rekod baru dunia. Tahniah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Subramaniam perlu memberi penjelasan yang munasabah dan bukannya ‘kitar semula’ jaminannya seperti dilakukan Liow Tiong Lai sebelum ini. Apakah siasatan atau arahan telah beliau jalankan selepas berlakunya keruntuhan siling pada 30 September lalu?

“Lebih malang, insiden yang sama berlaku selepas enam minggu dan di manakah penjelasannya? Atau beliau sekadar mengambil gaji dan melaksanakan tanggungjawabnya secara sambil lewa? Sekiranya beliau tidak dapat memberi penjelasan memuaskan, saya akan mengusul untuk memotong gajinya pada sidang Parlimen nanti,” katanya dalam kenyataan.

Subramaniam pada sidang medianya pada 16 Oktober lalu menyatakan Jabatan Kerja Raya akan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas struktur bangunan Hospital Serdang bagi memastikan ia benar-benar selamat.

Mengecam kenyataan itu, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan menegaskan, janji Subramanian tidak membawa sebarang perubahan apabila sebulan selepas jaminan itu, siling Hospital Serdang runtuh lagi.

“Adakah beliau sekadar memberi aku janji kosong atau tidak serius dan tidak tegas dalam melaksanakan tugasnya iaitu membuat pemeriksaan secara terperinci serta menjalankan kerja penyelenggaran yang sewajarnya?,” soalnya.

Nie Ching berkata, ketika runtuhan pertama siling Hospital Serdang pada 30 Januari 2011, beliau telah mendesak Tiong Lai memberikan penjelasan.

Namun, katanya, Liow mendakwa Kementerian Kerja Raya akan menjalankan siasatan terhadap punca berlakunya runtuhan itu dan menjalankan kerja baik pulih serta pengubahsuaian.

“Ironiknya, walaupun orang baru dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada Mei 2013, jaminan yang diberi masih sekadar janji kosong.

“Sehingga kini, kita masih tidak mengetahui punca sebenar berlakunya runtuhan siling sama ada disebabkan masalah struktur, reka bentuk atau penyelenggaraan. Rasanya ini merupakan soalan ‘One in a Million’ paling misteri kerana selama tiga tahun ini kita masih tertanya-tanya kenapa siling Hospital Serdang boleh runtuh,” kesalnya. -Roketkini.com