Berita

Belanja RM270 juta tidak berbaloi, keputusan Bahasa Inggeris UPSR merosot

KUALA LUMPUR, 15 NOVEMBER: Perbelanjaan kerajaan sebanyak RM270 juta dalam program mentor antarabangsa untuk tempoh tiga tahun tidak berbaloi kerana tidak menghasilkan keputusan membanggakan sebaliknya keputusan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini semakin merosot.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, semakan lanjut mendapati penurunan ketara dalam keputusan mata pelajaran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah kebangsaan dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) merosot 0.06 mata.

“Bilangan calon yang mendapat A bagi Bahasa Inggeris menurun 0.2 peratus, manakala jumlah gred B dan C turun 2.9 peratus.

“Malah, hanya 74.4 peratus daripada calon sekolah kebangsaan berjaya mencapai sekurang-kurangnya C tahun ini, berbanding 77.3 peratus tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP turut mengecam kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud yang meremehkan penurunan itu dengan mendakwa ia bukan isu besar.

“Saya sangat tidak bersetuju dengan Ketua Pengarah Pendidikan. Penurunan pencapaian Bahasa Inggeris bukan sahaja isu besar, tetapi mengejutkan memandangkan kerajaan banyak melabur dalam beberapa tahun kebelakangan ini di sekolah rendah.

“Sebagai sebahagian daripada program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), RM270 juta dibelanjakan untuk pengambilan 360 mentor bahasa Inggeris antarabangsa melalui tiga firma perunding, iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group,” ujarnya.

Katanya, dengan kos yang begitu tinggi, seharusnya memberikan peningkatan dalam keputusan mata pelajaran Bahasa Inggeris tahun ini.

“Program mentor menelan belanja RM270 juta berlangsung daripada 2010 hingga 2013 dan sepatutnya melatih 7,500 guru bahasa Inggeris sekolah rendah di serata negara.

“Dengan kos yang sangat tinggi, kita mengharapkan setidak-tidaknya sedikit peningkatan tapi malangnya sebaliknya berlaku dalam keputusan UPSR terkini yang sekaligus memberi satu tamparan hebat kepada usaha kementerian.

Katanya lagi, ia sangat ironi apabila prestasi keseluruhan dalam kertas Bahasa Inggeris sekolah jenis kebangsaan pula menyaksikan peningkatan biarpun tidak diperuntukkan dengan program mentor antarabangsa.

“Prestasi keseluruhan sekolah jenis kebangsaan menyaksikan peningkatan 0.12 mata, dengan bilangan pelajar mencapai A meningkat 4.2 peratus dan mereka yang mendapat B dan C meningkat 2.1 peratus.

“Dalam erti kata lain, sekolah jenis kebangsaan yang tidak mendapat manfaat daripada program mentor antarabangsa bahasa Inggeris berjaya meningkatkan penguasaan dalam bahasa itu, manakala keputusan sekolah kebangsaan merosot walaupun kerajaan membelanjakan sebanyak RM270 juta,” katanya.-Roketkini.com