KUALA LUMPUR, 16 NOVEMBER: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penjelasan di Parlimen, Isnin ini mengenai kelonggaran Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sehingga menyebabkan seorang pelancong dari Taiwan ditembak mati dan isteri mangsa diculik kumpulan yang disyaki pengganas Abu Sayyaf di Pulau Pom Pom berhampiran Semporna, awal pagi semalam.
Ketua Parlimen DAP, Patah Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya berkata, Najib perlu memaklumkan kepada Parlimen supaya Esscom mengetatkan kawalan keselamatan supaya kejadian pembunuhan dan penculikan oleh pengganas Filipina tidak berulang di Sabah.
Katanya, laporan awal menyatakan bahawa sekumpulan lelaki lengkap bersenjata tiba di pusat peranginan Mandur Pom Pom dan menyerbu restoran serta melepaskan beberapa das tembakan di pusat peranginan yang ketika itu hanya dilanggani oleh pasangan pelancong dari Taiwan itu.
Mangsa yang dikenali Lim Min Hsu, 57, terkena dua das tembak pada bahagian dada dan rusuk dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri mangsa, Lim Min Hsu, 57, dilarikan kumpulan bersenjata terbabit dengan sebuah bot kecil ke arah Filipina selatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 pagi.
“Pembunuhan dan penculikan di Pulau Pom Pom itu memberi tamparan hebat kepada usaha memulihkan keyakinan pelancong dan orang ramai terhadap kawalan keselamatan di Sabah selepas pencorobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, pada Februari lalu.
“Ketika pelancaran Esscom April lalu, Najib menggariskan empat strategi dan pendekatan teknikal yang akan diambil untuk memelihara keamanan dan keselamatan di sepanjang 1,400 km kawasan pesisir laut bahagian timur Sabah, iaitu meningkat kemampuan perisikan, kawalan perairan 24 jam, meningkat keupayaan negara untuk memintas ancaman dari laut dan penguatkuasaan undang-undang secara ketat, termasuk mengambil tindakan segera sebaik saja penceroboh mendarat,” katanya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah berkata, peristiwa tragik di Pulau Pom Pom pagi ini yang membawa kepada pembunuhan seorang pelancong dan pasangannya diculik menunjukkan keempat-empat strategi itu terjejas.
Beliau berkata, pembentukan dan peruntukan besar kepada Esscom belum menghasilkan keamanan dan keselamatan di Pantai Timur Sabah, manakala tiga matlamat Esscom yang ditetapkan Perdana Menteri iaitu menjamin sepenuhnya keselamatan, memulihkan keyakinan orang ramai dan memulihkan keyakinan pelancong masih terlalu jauh untuk dicapai.-Roketkini.com