Berita

Balas dendam terhadap wakil rakyat PR, Parlimen tidak ada kerja lain kah? – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 18 NOVEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat, Khamis lalu sepatutnya boleh dielakkan.

Beliau berkata, kekecohan itu menyebabkan rakyat berasa hairan dengan tingkah laku kerajaan di Parlimen yang tanpa segan silu mencadangkan usul yang sangat tidak adil terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR).

“Adakah Dewan ini tidak ada kerja lain yang lebih penting? Bukankah masa sepatutnya diluangkan untuk membincangkan soal siaran langsung prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bakal berlangsung dua hari lagi dan lebih mempunyai kepentingan umum?

“Bukankah itu jauh lebih penting daripada tindakan membalas dendam terhadap seorang wakil rakyat yang cuba berjuang membela nasib rakyat dan menegakkan perlembagaan negara?,” soalnya dalam kenyataan.

Katanya, masanya sudah tiba untuk berusaha bersama demi merealisasikan Impian Malaysia dan menyelamatkan rakyat daripada ‘Mimpi Ngeri Malaysia’ yang panjang ini.

Menurutnya, akar kepada permasalahan besar ini ialah ekonomi yang semakin memburuk dan urustadbir pemerintahan UMNO/BN yang tidak berintegriti, korup, tidak amanah termasuk merompak kekayaan negara demi mengisi perut masing-masing.

“Sehingga kini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berani menyentuh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud walaupun banyak aduan dibuat dan bukti didedahkan.

“Inilah dia penyakit yang membarah di Malaysia sekarang ini. Barah ini perlu dibuang sebelum negara boleh dibina semula dengan nilai demokrasi, keadilan sosial, integriti, demi membentuk sebuah bangsa dan negara yang menolak ekstremisme perkauman, agama dan politik.

“Usaha membina generasi akan datang maju daripada aspek ekonomi, sosial dan budaya pastinya akan terbantut, jika wujud pihak seperti Biro Tata Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri yang terus menyemai mentaliti kebencian dan ketakutan terhadap kaum di Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah.

Beliau berkata, usaha perpaduan dan rekonsiliasi nasional juga akan gagal seandainya golongan pelampau yang sentiasa berusaha mewujudkan ketegangan kaum masih terus dibiarkan,

“Saya masih berharap untuk melihat komitmen sebenar Perdana Menteri dan Jabatannya yang mempunyai dana yang begitu besar setiap tahun untuk betul-betul melaksanakan usaha perpaduan nasional dan bukan sekadar membuat slogan demi meraih sokongan politik,” tegasnya. -Roketkini.com