Budaya, Sastera

Cerpen – Lampu Isyarat dan YB Oleh Asi Dani

DALAM perjalanan ke gerai menjual sarapan pagi, ada satu simpang empat. Hari itu, lampu isyarat di simpang empat ini tidak berfungsi, aku sedarinya sejak malam kelmarin lagi. Tapi hingga pagi ini, keadaan terus begitu.

Bersebelahan dengan simpang empat ini ada sebuah gerai menjual sarapan. Sampai di situ, aku pun memilih juadah sarapan. Seperti biasa, nasi lemak tidak menjadi perhatian aku. Sebaliknya kueh bingka dan roti sardin yang aku pilih dan minta dibungkuskan.

Sedang asyik memilih, seorang lelaki Melayu berdiri di sebelah untuk tujuan yang sama dengan aku – memilih juadahnya.

Sambil memilih dia merungut dengan si penjual sarapan itu. Daripada gaya dia bersembang, nyata lelaki pertengahan umur ini adalah pelanggan tetap gerai Kak Jijah.

Kak Jijah ini ibu tunggal, anaknya ada dua orang, masih bersekolah rendah. Kak Jijah ini pandai berdikari, sebelah pagi dia menggerai sarapan dan sebelah petang dia menjual pisang goreng. Rasanya Kak Jijah taklah terlalu sukar hidupnya, aku dapat lihat di pergelangan tangannya beberapa utas gelang emas. Dulu tak bergelang, buat sekian lama berniaga, dah nampak satu persatu gelang emas melilit di hujung lengannya. Baguslah, sebut aku dalam hati.

Abang pertengahan umur itu tadi terus merungut. Aku di sebelah mencuri dengar biji butir rungutannya.

“Menyusahkan orang betul, ni belum ada eksiden, nanti dah eksiden mulalah nak baiki,” rengus lelaki itu.

Sah, lelaki ini merungut tentang lampu isyarat yang masih rosak yang belum dibaiki.

“Dah telefon majlis kata Abang Mat tadi, tak tahulah bila nak baiki”, balas Kak Jijah kepada lelaki itu. Abang Mat yang disebut oleh Kak Jijah itu, tak pula aku pasti, siapakah dia.

“Eehh..telefon majlis buat apa, lambat,” lelaki itu memotong penjelasan Kak Jijah.

“Ni patut terus call Yb sini, dia dah menang kat sini, patut dialah ambil tindakan cepat. Kalau dia yang call majlis, hah.. lagilah cepat dibuatnya,” sambungnya lagi.

Aku menjeling lelaki di sebelah. Dia membalas pandangan aku dengan riak muka seolah mahu meminta aku bersetuju dengan rungutannya. Aku tersengih sahaja.

“Dulu masa kempen pandai cakap nak jaga kebajikan, keperluan kita, sekarang dah menang lampu isyarat pun tak boleh nak baiki,” lelaki itu terus merungut.

“Alah bang, nanti eloklah lampu tu, dah call dah tadi kata Abg Mat,” ulang Kak Jijah dengan nada memujuk sambil menghulur baki duit kepada pelanggan lain.

“Ini bukan kerja kita, kita suruh Yb tulah buat kerja. Ni kerja dia, kalau tak boleh buat, jangan jadi Yblah ,” semakin merungut nampaknya lelaki di sebelah aku ni. Tangannya terus memilih juadah sarapan.

Kak Jijah nampak acuh tak acuh, pelanggan pun semakin ramai di gerainya. Sambil melayan rungutan lelaki itu, Kak Jijah terus membungkus pesanan pelanggan lain.

Juadah aku pun dah siap dibungkus, kini sedang tunggu baki duit dari Kak Jijah.

“Yalah bang, nanti YB tu tolonglah, sekarang dia sibuk agaknya,” pujuk Kak Jijah kepada lelaki pertengahan umur itu.

“Sibuk kira duit agaknya, orang lain pun sibuk juga, tapi tanggungjawab pada rakyat kenalah buat, kata pemimpin berjiwa rakyat,” nada lelaki itu jelas menyimpan rasa geram.

“Bang, saya rasa, elok abang saja call pihak majlis, dekat tiang lampu isyarat tu ada letak nombor telefon majlis dengan JKR, kalau abang nak saya boleh berikan,” aku memintas rungutannya sambil mengambil baki duit dari Kak Jijah.

Lelaki itu menoleh ke arah aku, matanya terjegil sedikit. Aku membalasnya dengan senyuman tawar.

“Ah kau, kalau kau rajin sangat, kau call lah. Inilah punca YB kita makan gaji buta, kita dah undi dia, tapi kerja macam ni pun kita juga yang buat, ahhh… tak kuasa aku,” ujar lelaki pertengahan umur ini.

“Bang, YB tu kerjanya buat undang-undang, buat dasar, polisi di dewan negeri atau Parlimen, kerja YB bukan jaga lampu isyarat. Lagi pun call saja, bukan kena buat surat pun, apa susahnya,” jelas aku sambil memegang bahunya.

Dia memaling daripada memandang aku.

“Kau orang baru, mana kau tahu. Selama ni, YB dulu-dulu memang dia yang buat, kenapa YB sekarang tak buat?, sibuk buat dasar kau kata, dasar apa? Aku tak nampak pun,” ujar lelaki itu sambil memakan sebahagian daripada karipap yang dibelinya.

“Tak apalah bang, nanti saya call, kalau ramai yang call mesti cepat dia orang baiki, saya minta diri dulu”. Pujuk aku sambil meminta diri.

Dalam memandu pulang, aku jadi tak faham kerana perkara kecil sebegini kita masih mahu bergantung dengan orang politik. Hal longkang, tiang lampu, lampu isyarat semua benda mudah yang kita sendiri boleh buat tapi masih nak serah tanggungjawab pada ahli politik. Apakah hujung pada mentaliti sebegini?

Kalau pihak majlis buat kerja lembap, kitalah kena desak kuat, buat ramai-ramai, hari-hari. Pasti boleh berubah dan selesai. Zaman dah berubah, biar orang politik kerja keras buat dasar yang bagus, jangan ganggu mereka dengan kerja longkang. – Roketkini.com