Berita

Iluminati dan komunis: Pentadbiran BN caca marba, mimpi ngeri buat Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 NOVEMBER: Lanskap politik negara yang caca-marba dengan permainan sentimen perkauman, penipuan dan kebencian membuktikan kerajaan masih gagal menangani masalah perpaduan kaum atau puak pelampau yang menggugat usaha bersama ke arah negara yang lebih harmoni.

Lebih mendukacitakan, kegagalan mereka sedaya upaya ditutup dengan pelbagai fitnah jahat terhadap DAP dengan pelbagai dakwaan sebagai ejen iluminati dan komunis seperti yang dituduh kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Menyifatkan perkara itu sebahagian daripada ‘Mimpi Ngeri Malaysia’, Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu dalam ucapan perbahasannya hari ini berkata, segala caca marba yang berlaku ke atas negara ini membuktikan gagasan 1Malaysia yang megah dilaungkan selama ini kelihatan makin tidak bermaya malah hampir gagal sama sekali.

“Lihat sahaja penyakit kewangan negara yang disebabkan oleh rasuah, ia akhirnya dibebankan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Walhal, mereka yang patut menanggung beban kesalahan sendiri akhirnya terlepas,” katanya.

Beliau mengambil contoh bagaimana Jabatan Peguam Negara tidak langsung merayu keputusan mahkamah yang membebaskan Tun Dr Ling Liong Sik daripada tuduhan rasuah skandal PKFZ.

Malah, Kit Siang menyifatkan keseluruhan proses pendakwaan itu semata-mata satu wayang yang dipertontonkan untuk memberi harapan kosong kepada rakyat sebelum Pilihn Raya Umum ke-13.

Beliau turut menyentuh isu keselamatan rakyat yang tidak terjamin dengan terjadinya pelbagai insiden dan kes jenayah.

“Saya juga hairan bagaimana dengan keadaan bilangan anggota polis yang begitu ramai ini, rakyat masih rasa tidak selamat. Barangkali kerana dilaporkan juga bahawa senjata api anggota polis boleh diberi sewa kepada penjenayah, selain boleh hilang dicuri ketika tidur di dalam kereta, mahupun ketika pergi ke tandas.

“Dalam keadaan itu pun, ada cadangan daripada pihak tertentu untuk memberi senjata api kepada penguatkuasa jabatan agama pula, dengan alasan supaya mereka dapat mempertahankan diri. Adakah selepas ini, jika ada wartawan yang mati ditembak, wartawan juga mahu diberikan senjata api?,” soalnya.-Roketkini.com