Berita

Impian Sarawak: Rumah Gawai buat penduduk Kampung Serikin

BAU, 18 NOVEMBER: Program jelajah Impian Sarawak memberi kegembiraan kepada lebih 200 keluarga Bidayuh di Kampung Serikin, di sini dengan kerja membaikpulih dan ubah suai Rumah Gawai yang uzur.

Atas semangat gotong-royong, seramai lebih 15 sukarelawan dari seluruh negara berkampung selama sembilan hari bersama penduduk kampung dan bergotong-royong menyiapkan Rumah Gawai yang bakal digunakan dalam Pesta Gawai yang disambut setiap tahun.

Menurut Pengurus Projek Rumah Gawai, Mordi Bimol, program seperti itu perlu digalakkan kerana ia memupuk semangat kerjasama antara masyarakat bandar dan desa terutamanya golongan muda.

“Penduduk gembira dan menerima baik cadangan untuk membaikpulih Rumah Gawai yang uzur dan tidak boleh digunakan lagi.

“Saya juga mahu menyeru kepada siapa yang berminat, jadilah sukarelawan atau sekurang-kurangnya memberi sumbangan bagi meneruskan program Impian Sarawak di kawasan lain,” ujar beliau yang juga Pengerusi DAP Tasik Biru dan bekas calon Parlimen Mas Gading.

Ini adalah program kedua Impian Sarawak setelah berjaya membina sistem air graviti di Kampung Sait – Muk Ayun Oktober lalu.

Objektif Impian Sarawak adalah untuk memperluaskan perkhidmatan parti dan memupuk kesedaran politik kepada masyarakat luar bandar negeri itu yang masih jauh ketinggalan mengecapi kemajuan kemudahan asas yang wajar.

Ia memberi fokus dalam menyediakan infrastruktur asas seperti kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya membabitkan penyertaan sukarelawan dan penduduk setempat.

Bagi mereka yang berminat menjadi sukarelawan Impian Sarawak, boleh lawati http://impiansarawak.com dan sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel ke [email protected] – Roketkini.com