Wawancara

Zunar dan serangan Pirates of Carry BN

Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali dengan nama Zunar adalah kartunis politik yang tidak asing lagi di negara kita. Karyanya yang banyak menyentuh isu semasa dan menghentam pemerintah secara langsung sering kali mendapat perhatian bukan sahaja masyarakat tetapi polis suruhan kerajaan.

Atas keberanian beliau menghasilkan kartun berunsur politik, hak asasi dan sebagainya, badan hak asasi yang berpengkalan di Empire State Building, New York City iaitu Human Right Watch menganugerahkan beliau anugerah Hak Asasi Hellman/Hemmett pada 2011.

Beliau juga pernah mendapat pengiktirafan Cartoonist Right Network International (CRNI) dan beberapa anugerah lain seperti Artis In Residence 2011 oleh Bilbao Arte/Fundacion.

Sempena pelancaran buku terbaru beliau berjudul ‘Pirates of Carry BN’ di Amcorp Mall, Petaling Jaya yang dilancarkan oleh Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli, baru-baru ini,

Wartawan Roketkini.com, Aliff Fikri sempat menembual Zunar untuk membincangkan sedikit sebanyak perihal buku terbaru itu. Perbualan juga tidak terhad kepada buku terbaru malah merangkumi hal lain antaranya senario politik semasa, kartun sebagai ejen perubahan, reformasi dan proses lahirnya seorang Zunar.

Foto oleh Wira Andika

Apa sebenarnya ‘Pirates of Carry BN’ dan mesej yang hendak disampaikan kepada umum melaluinya?

Zunar (2)Buku ini adalah buku kartun kelapan saya dan ‘Pirates of Carry BN’ ini adalah sebuah buku koleksi kartun yang disiarkan di beberapa laman web termasuk Malaysiakini dan Bruno Manser Fund (BMF).

Kartun itu kebanyakkan daripada selepas Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini sehingga sekarang. Seperti biasa semua kartun saya adalah yang mengkritik pemerintah dan mengandungi lebih daripada 130 kartun dwi bahasa.

Bagi saya ini adalah buku yang paling tebal setakat ini. Mesej yang hendak disampaikan adalah berkenaan isu kritikal contohnya rasuah, saya tidak tumpukan hanya kepada kakitangan kerajaan tapi rasuah pada peringkat paling tinggi yang dilakukan Perdana Menteri dan Kabinetnya. Saya juga tekankan isu pembelian kapal selam Scorpene, pembunuhan Altantuya dan perbelanjaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan benda ini jarang disentuh bukan sahaja oleh kartunis tapi oleh semua media arus perdana di Malaysia. Jadi sebab itu buku ini diterbitkan.

Saya ingin beritahu kepada pembaca bahawa isu ini sangat penting. Kalau kita lihat sekarang ini masyarakat terlalu terperangkap dengan isu remeh seperti nama ‘Allah’, padahal ia langsung tidak penting. Apa yang saya nyatakan tadi sebenarnya lebih penting dan semua orang perlu tahu mengenainya.

Semua orang perlu tahu kebenaran di sebaliknya, saya akui ia sering juga disentuh media arus perdana tapi dalam perspektif berbeza.

Bagaimana pula dengan isu terbaru seperti Akta Barangan dan Perkhidmatan (GST), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)?

Semua ada disentuh kerana ia termasuk dalam kategori hak asasi manusia.

Boleh saudara ceritakan sedikit permohonan saman terhadap polis dan kerajaan di atas rampasan buku terdahulu ‘Cartoon O Phobia’ yang akhirnya ditolak Mahkamah Rayuan?

Kes ini bermula apabila beberapa pasukan polis datang ke pejabat saya untuk menangkap dan merampas buku itu pada 24 September 2010, beberapa jam selepas majlis pelancaran buku itu.

Mereka menangkap dan memasukkan saya ke dalam lokap serta menahan saya mengikut Akta Hasutan, saya hanya dibebaskan 2 hari selepas itu atas arahan mahkamah. Ketika serbuan, mereka merampas ‘Cartoon O Phobia sebanyak 66 naskah. Pada saya tangkapan ini adalah berniat jahat sebab itu saya mengemukakan saman terhadap polis dan kerajaan, saya hanya melukis kartun dan ia tidak menjadi satu kesalahan mengikut Akta Hasutan.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyatakan satu keputusan yang pada hemat saya merupakan satu keputusan yang bersifat lucu dan boleh digambarkan bersifat komik iaitu kononnya penangkapan saya adalah sah di sisi undang-undang tapi rampasan buku itu tidak sah. Jadi ini bermaksud kartun itu tidak salah tapi kartunis yang melukis salah (ketawa), walhal saya yang melukis kartun itu bukan dilukis oleh orang lain, hasil tidak salah tapi saya yang salah. Ini amat melucukan.

Atas sebab yang melucukan ini, saya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan, malangnya mereka juga mengatakan perkara yang sama. Mahkamah Rayuan mengatakan polis dan kerajaan mempunyai hak untuk mengesyaki seseorang itu terbabit dalam kegiatan yang boleh dianggap jenayah.

Daripada dasar biasanya, saya merasakan itu memang betul seperti membawa pistol, berada di kawasan gelap, berkelakuan mencurigakan, bawa pisau dan sebagainya. Tapi atas dasar apa untuk mencurigai seorang pelukis kartun?. Saya juga tertanya adakah polis menangkap semua orang di Malaysia ini atas rasa curiga? Mereka tidak boleh melakukan seperti itu, setiap tangkapan mesti bersebab bukan berlandaskan curiga semata. Contohnya kalau kita sedang makan pisang, tiba-tiba mereka datang untuk menangkap kerana mengesyaki pisang itu ada bom, mesti orang semua ketawa kalau mendengarnya.

Pada saya hakim tidak dapat memberikan satu alasan yang boleh diterima akal, melukis kartun dan ditahan mengikut Akta Hasutan? Ini tidak logik. Keputusan mahkamah ini mengesahkan pendirian kerajaan bahawa melukis kartun ini adalah kesalahan jenayah. Saya benar-benar terkejut apabila hakim Mahkamah Rayuan juga membuat keputusan sama.

Saya tidak mempertikaikan institusi mahkamah, tapi cara mereka menjatuhkan hukuman, untuk saya apa yang mereka lakukan ini adalah penghakiman kartun yang dikawal sebuah kerajaan kartun.

Apa pandangan saudara mengenai senario politik semasa terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-13?

Zunar (5)Pada saya kerajaan tidak akan berubah selagi rakyat yang tidak mengubahnya. Saya percaya kerajaan sendiri merasakan bahawa mereka semakin kehilangan sokongan, graf mereka semakin merudum, apabila kerajaan yang lemah seperti UMNO/BN ini begitu terdesak mempertahankan kuasa maka tentunya akan lebih banyak kezaliman akan berlaku dan ini yang berlaku sekarang.

Kita lihat seperti pelaksanaan PCA, ini adalah permulaan sahaja. Baru-baru ini mereka juga meluluskan Akta Keterangan yang membolehkan kakitangan kerajaan didakwa sekiranya memberi maklumat mengenai penyelewengan mereka.

Semakin lemah sebuah kerajaan, semakin zalimlah mereka.

Jadi apakah perubahan tidak akan berlaku?

Perubahan adalah perjuangan rakyat, perubahan ini tidak pernah ada satu matematik khusus untuknya. Setiap negara perjuangan ke arah perubahan adalah kompleks dan mempunyai kaedahnya tersendiri.

Di Malaysia ini, perjuangan tidak boleh dikira berdasarkan matematik tapi perjuangan harus dikira berlandaskan satu marathon yang tidak pernah ada penghujungnya.

Kejayaan seorang pelari marathon adalah apabila ia sentiasa berada di dalam trek dan memandang ke hadapan baru boleh berjaya. Sekiranya rakyat terus berada di dalam trek ini, berlari dan berlari, kejayaan pasti akan hadir.

Apa pula pandangan saudara mengenai kebanyakkan seniman kita tidak kira samada pelukis, aktor, penyanyi dan lain-lain, yang kebanyakkan hanya menjadikan seni ini sebagai jalan mengejar wang dan kekayaan tanpa mempedulikan isu semasa?

Ini satu kelemahan yang berjaya dipupuk oleh kerajaan, manusia seperti ini pada saya tidak ada keperibadian dan jati diri.

Malaysia adalah sebuah negara yang boleh dikatakan memiliki jumlah artis yang sangat ramai tapi hampir semuanya tidak mempedulikan isu semasa, ini sangat berbeza dengan negara seperti Indonesia, Cuba, Amerika Syarikat mereka semua mengkritik kerajaan melalui karya seni.

Di Malaysia, seniman termasuk kartunis sendiri hanya mementingkan wang dan tidak mempunyai jati diri untuk memartabatkan karya mereka sendiri. Perkara paling penting untuk seniman adalah mereka mesti dekat dengan rakyat, itu baru seniman. Apa sahaja yang disuarakan rakyat, itu sepatutnya menjadi bahan karya seperti penderitaan, perobohan rumah, ditangkap tanpa bicara, kezaliman, rasuah, penindasan dan sebagainya, tanggungjawab seniman adalah mengangkat isu ini.

Berbalik pada kata nama artis, artis ialah orang yang sensitif kita bukan ahli perniagaan. Kalau ahli perniagaan tidak mengambil berat permasalahan rakyat itu perkara biasa kerana mereka adalah golongan kapitalis dan tentunya tidak sensitif tetapi seniman atau artis harus menjadi golongan yang terakhir sekali berdiri serta mempertahankan hak dan suara rakyat, ditambah dengan keadaan negara yang mencengkam.

Saya ingin tekankan, seniman ini bakatnya bukan dipelajari, tidak ada mana-mana universiti di negara ini yang menawarkan kursus bakat, menajamkan bakat ada.

Bakat ini adalah kurniaan Tuhan, bukan untuk kepentingan peribadi tapi untuk rakyat.

Bagaimana pula jika seniman ini sebenarnya mahu memperjuangkan isu sensitif tapi takut?

Zunar (1)Mereka seharusnya mencuba, ramai saya dengar bercakap seperti itu tapi mengapa tidak mencuba. Saya khuatir apa yang diperkatakan itu hanya alasan.

Kalau kata itu digunakan sebagai alasan untuk cari makan, saya nak tanya ada orang mati tak makan ke di negara kita ini. takkan ada.

Kalau majoriti artis dan seniman ini punya jati diri mereka akan mencuba. Berapa orang artis di negara kita kena tangkap? Tidak ada. Jadi yang berkata ‘tak boleh, banyak tekanan’. tekanan itu bukan halangan.

Saya bagi contoh, di Hollywood beberapa tahun lalu, pernah ada mogok penulis skrip kerana menegakkan satu isu.

Seniman di Malaysia ini adalah seniman produk, A Samad Said menyebutnya sebagai ‘Carma’, cari makan.

Sejauh mana seni sebenarnya boleh menjadi pemangkin kepada perubahan?

Seni adalah senjata yang paling berkesan kerana ia merentasi segala-galanya. Kita tengok dalan Revolusi di Perancis dan terbaru di Mesir, ramai kalangan artis seperti penyair dan penyanyi yang turut sama berdemonstrasi melalui nyanyian dan sajak mereka di Tahrin Square setiap malam.

Kita lihat seniman seperti Victor Jara di Chile dipenjara sehingga mati dan W.S Rendra di Indonesia yang begitu lantang mengkritik kerajaan dengan karyanya. Inilah nama yang menjadikan seni sebagai ejen perubahan.

Berbanding ucapan politik, ramai orang yang memilih seni seperti kartun kerana ia lebih mudah untuk difahami. Semua golongan boleh membacanya. Sewajarnya seni dan kartun harus menjadi ejen perubahan yang sangat berkesan. Tapi ia tidak berlaku di negara kita.

Boleh ceritakan sedikit pengalaman saudara yang bermula dengan Bambino pada 1973, Mingguan Perdana, Gila-Gila dan kemudiaan terbabit dengan Reformasi? Bagaimana proses itu?

Zunar (6)Saya mula melukis sejak kecil lagi, ketika ITU kebanyakkan kartun hanya kartun kosong tanpa sebarang mesej.

Semasa belajar di sekolah baru saya banyak melukis kartun yang bersifat melawan sehingga pernah diharamkan di majalah sekolah dan terpaksa menghadap guru disiplin.

Bila saya mula bekerja di Gila-Gila pada 1986, saya sudah punya kecenderungan kuat untuk mula menghasilkan kartun politik bersifat sindiran dan satira pedas kepada kerajaan. Gila-Gila ini medium banyak pada remaja, jadi ia kurang berkesan kerana ramai yang tidak kenal politik dan isu yang saya cuba sampaikan.

Kemudian saya masuk Berita Harian dan News Strait Times, saya bekerja hanya untuk 6 bulan dan berhenti kerana tidak sesuai dengan diri saya. Selepas itu saya berhenti agak lama kerana merasakan tidak ada tempat untuk kartunis politik di negara kita. Saya tidak melukis sesuatu karya yang betul-betul menggambarkan diri saya. Ketika itu juga masih tidak ada internet dan akhbar alternatif.

Sehinggalah tercetusnya Reformasi pada 1998, saya rasa terpanggil semula untuk kembali meneruskan kerja seni.

Saya kembali menghantar kartun saya pada Harakah, iaitu Januari 1999. Selepas itu barulah saya merasakan karya saya mendapat tempat sewajarnya dan tidak lagi memandang ke belakang sehingga sekarang. Bermula daripada detik itu barulah karier saya betul-betul bermula dan dikenali. Sebelum ini saya hanya dikenali oleh peminat kartun tapi tidak dikenali oleh masyarakat lain.

Dalam soal bayaran, saya mendapat bayaran cukup tinggi di Berita Harian dan News Strait Times berbanding Harakah tetapi pada saya bayaran itu tidak penting, yang paling penting adalah kepuasan dan kebebasan. Kepuasan seorang artis ini adalah apabila karyanya diterima dan dihargai.

Mengapa sekarang kebanyakkan orang yang dulunya terbabit langsung, kini agak skeptikal dengan Reformasi? Apa pandangan saudara?

Pada saya mereka ini salah menganggap reformasi ini cuma himpunan, itu masalahnya. Reformasi ini bukan himpunan.

Mereka yang hanya menganggap Reformasi pada 1998 hanya himpunan membebaskan Anwar Ibrahim ini sebenarnya tidak memahami apa itu Reformasi sebetulnya. Reformasi lebih daripada itu.

Ruang lingkup reformasi ini seharusnya dikembangkan kepada satu agenda lebih besar iaitu seperti membebaskan rakyat, memperkukuhkan ekonomi, menghentikan salah guna kuasa dan sebagainya. Kita harus tahu dalam setiap perjuangan dimensi itu penting. Dimensi ini begini, lebih baik kita ada seribu batalion askar berbanding satu batalion yang ada 10,000 askar, dimensinya perlu berbeza. Jika berpuluh ribu berjuang melalui cara yang sama, sudah tentu lebih senang untuk kerajaan menanganinya.

Maksud saya, ustaz dengan cara ustaz, kartunis dengan cara kartunis, pegawai kerajaan dengan cara dia, makcik dengan cara dia tapi semuanya menjurus ke arah reformasi iaitu perubahan ke arah kebaikan. Semua perjuangan ke arah perubahan itu adalah reformasi. Jangan sesekali terperangkap dengan istilah, kelemahan orang kita inilah dia, senang sangat terperangkap.

Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan buku terbaru ‘Pirates of Carry BN’ lukisan Zunar yang berharga RM25, beliau boleh dihubungi di [email protected] ataupun hubungi saudara Aron ditalian 012-2726332.