Rencana

Masa untuk realisasikan Impian Malaysia, selamatkan rakyat daripada ‘Mimpi Ngeri Malaysia’

Ucapan Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, ketika perbahasan Bajet 2014 Peringkat Jawatankuasa (Jabatan Perdana Menteri) di Dewan Rakyat pada 18 November 2013

Saya bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa Bajet 2014 mengenai Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan yang lain termasuk Majlis Keselamatan Negera (MKN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Biro Tatanegara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Pejabat-pejabat Setiausaha Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang mati ditembak di Kuantan, Pahang; keluarga Allahyarham Norazita Abu Talib, yang menjadi mangsa rompakan Ambank tempoh hari; serta Allahyarham Hussain Ahmad Najadi, yang turut menjadi mangsa tembakan beberapa lama dulu.

Semua mangsa jenayah ini adalah korban tidak berdosa akibat daripada kelalaian dan kerakusan pihak yang berkenaaan mengejar kuasa dan jawatan, sehingga mengabaikan persoalan integriti, tanggungjawab kepada negara dan impian besar rakyat Malaysia.

Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa warga Taiwan dalam tragedi pembunuhan dan penculikan di Pulau Pum-Pum beberapa hari sudah. Ternyata Eastern Sabah Security Command (Esscom) tidaklah efektif dalam menjaga keselamatan negara sungguhpun ia ditubuhkan sebagai tindakbalas terhadap peristiwa pencerobohan di Lahad Datu. Walaupun Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri menyifatkan ini sebagai kejadian terpencil, nyawa yang hilang pasti tidak dapat diganti. Keyakinan rakyat terhadap kesungguhan pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara dan rakyat jelata sekali lagi berkecai.

Mural Zachas di JB bukti rakyat mahukan keamanan

Rakyat Malaysia mengimpikan negara yang aman sentosa; tanpa risau dirompak atau dibunuh. Namun hakikatnya hari ini kita dapat lihat bahawa rakyat ramai hidup dalam ketakutan. Ketakutan ini tidak boleh dinafi dan disembunyikan sepertimana grafiti dan seni mural yang menampilkan kritik sosial yang benar, boleh disorok dengan selapis cat putih seperti yang dilakukan pihak berkuasa tempatan di Johor.

Karya Ernest Zacharevic di sebuah dinding di Johor Bahru adalah satu peringatan buat kita semua bahawa rakyat yang memberi amanah kepada kerajaan untuk menjaga keamanan, tetapi kini harta dan jiwa mereka berada dalam keadaan diancam ketakutan dan mimpi ngeri, suatu hakikat benar yang tidak dapat dicat-putihkan.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga sekurang-kurangnya tiga perkara. Harta, jiwa dan maruah rakyat seluruhnya. Seandainya pemimpin lalai dalam melaksanakan tugasnya, maka pemimpin itu wajar ditolak.

Dalam kes pembunuhan pegawai bank, Norazita Abu Talib; saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Polis kerana berjaya menahan suspek yang disyaki terbabit. Saya harap pihak yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

Namun apa yang lebih merunsingkan ialah apabila suspek yang dilaporkan merupakan seorang warga asing dari Sulawesi, berjaya memintas sistem keselamatan negara dan lantas meletakkan kedaulatan negara dalam keadaan berisiko tinggi.

Bagaimana orang ini boleh mendapat MyKad, dan kalaupun MyKad itu palsu, bagaimana orang ini boleh membuka akaun bank, menerima gaji setiap bulan, malah boleh diberikan lesen senjata api oleh Kementerian Dalam Negeri? Adakah orang ini turut mengundi pada PRU ke-13 lalu? Adakah kerana tuan punya syarikat keselamatan itu merupakan kroni parti pemerintah maka Kementerian boleh pejam sebelah mata? Berapa ramai lagi warga asing yang mendapat kelebihan yang sama, memiliki senjata api dan boleh mengancam keselamatan rakyat pada bila-bila masa? Sampai ke hari ini, kita tidak mendapat sebarang jawapan yang memuaskan daripada menteri berkenaan.

Rakyat Sabah, Sarawak mula meluat dengan UMNO/BN

Sistem yang ada yang membuatkan negeri berdaulat seperti Sabah dan Sarawak semakin hilang kedaulatannya, apabila warga asing senang-senang mendapat MyKad dan mengambil alih ekonomi rakyat dan secara langsung menggugat kestabilan dan keselamatan negara. Sistem ini yang mencabuli hak rakyat Sabah, yang hidup dalam negeri yang sangat kaya, tetapi warganya sangat miskin; malah dilayan dengan amat berbeza sekali oleh Kerajaan Persekutuan.

Semua rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak mengharapkan supaya dapat hidup bebas daripada belenggu mimpi ngeri yang terbentuk hasil daripada kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Pihak kerajaan dan Perdana Menteri seharusnya lebih serius dalam menghormati aspirasi rakyat, contohnya dalam kes Perjanjian 20 Perkara dengan Sabah dan Perjanjian 18 Perkara dengan Sarawak, yang nampaknya semakin tidak dipedulikan; sehingga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing sendiri sudah melenting.

Kata Masing: “When they(UMNO) talk to us, they make themselves feel as if they are superior while we in Sarawak, are their coolies. Personally, I get irritated with those leaders who do not treat us from Sarawak as equal partners in the administration of this federation. We in Sarawak and Sabah seemed to be like an appendix to West Malaysia.”

(translation) “Apabila mereka (UMNO) bercakap dengan kami, mereka buat diri mereka rasa mereka lebih hebat sementara kami di Sarawak, adalah kuli mereka. Secara peribadi, saya menyampah dengan pemimipin yang tidak melayan kami dari Sarawak sebagai rakan kongsi saksama dalam pentadbiran Persekutuan ini. Kami di Sarawak dan Sabah seolah-olah sekadar apendiks terhadap Semenanjung Malaysia.”

Pernah saya bangkitkan di Dewan yang mulia ini, dan sekali lagi saya membangkitkan di sini, supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk sempena ulang tahun ke-50 pertubuhan Malaysia, untuk mengkaji dan menyiasat samada janji yang tertera dalam Perjanjian 20 Perkara dengan Sabah dan Perjanjian 18 Perkara dengan Sarawak telah ditunaikan atau telah dikhianati oleh kerajaan BN yang selama ini menganggap Sabah dan Sarawak sebagai akaun simpanan tetap mereka.

Rasuah berleluasa, rakyat dibeban

Penyakit kewangan negara yang disebabkan gejala rasuah yang berleluasa akhirnya dibebankan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Walhal, mereka yang sebenarnya patut menanggung beban kesalahan sendiri akhirnya terlepas. Lihat sahaja bagaimana Jabatan Peguam Negara langsung tidak merayu keputusan mahkamah yang membebaskan Tun Dr Ling Liong Sik daripada tuduhan rasuah skandal PKFZ. Adakah kerana Peguam Negara sebenarnya tahu bahawa caj yang didrafnya terhadap Tun Dr Ling itu sememangnya tidak akan menyebakan beliau disabitkan kesalahan, malah keseluruhan proses pendakwaan itu adalah satu wayang yang dipermainkan sebelum Pilihn Raya Umum ke-13 untuk memberi harapan kosong kepada rakyat jelata bahawa kerajaan memang berhajat menangani rasuah di peringkat tinggi.

Saya juga hairan bagaimana dengan keadaan bilangan anggota polis yang begitu ramai ini, rakyat masih rasa tidak selamat. Barangkali kerana dilaporkan juga bahawa senjata api anggota polis boleh diberi sewa kepada penjenayah, selain boleh hilang dicuri ketika tidur di dalam kereta, mahupun ketika pergi ke tandas.

Dalam keadaan itu pun, ada cadangan daripada pihak tertentu untuk memberi senjata api kepada penguatkuasa jabatan agama pula, dengan alasan supaya mereka dapat mempertahankan diri. Adakah selepas ini, jika ada wartawan yang mati ditembak, wartawan juga mahu diberi senjata api?

Dalam keadaan lanskap politik negara yang begitu rumit dengan permainan sentimen perkauman, penipuan dan kebencian yang kian meningkat; sehinggakan saya terus difitnah sebagai mempunyai kaitan dengan Illuminati dan komunis; Pejabat Perdana Menteri nampaknya masih gagal manangani masalah kesepaduan kaum atau mengawal puak pelampau yang menggugat usaha bersama ke arah negara yang lebih aman.

Impian Malaysia

Ini semua adalah sebahagian daripada ‘Mimpi Ngeri Malaysia’ yang ditabur oleh pemerintahan UMNO-BN, yang cuba diperbetulkan oleh DAP dan Pakatan Rakyat melalui usaha ke arah merealisasikan ‘Impian Malaysia’ memandangkan usaha perpaduan negara melalui kempen 1Malaysia kelihatan makin tidak bermaya malah hampir gagal sama sekali.

Akar kepada permasalahan besar ini ialah ekonomi yang semakin memburuk dan akar kepada masalah ekonomi semasa, tidak lain adalah kerana urustadbir pemerintahan UMNO-BN yang tidak berintegriti, korup, tidak amanah serta mudah sekali membazirkan wang rakyat termasuk merompak kekayaan negara demi mengisi perut masing-masing. Sehingga kini pihak SPRM tidak berani menyentuh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud walaupun banyak aduan dibuat dan bukti telah didedahkan.

Inilah dia penyakit yang membarah di Malaysia sekarang ini. Barah ini perlu dibuang sebelum negara boleh dibina semula dengan nilai demokrasi, keadilan sosial, integriti, demi membentuk sebuah bangsa dan negara yang menolak ekstremisme perkauman, agama dan politik.

Usaha membina generasi akan datang maju dari aspek ekonomi, sosial dan budaya pastinya akan terbantut, jika wujud pihak seperti Biro Tata Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri yang terus menyemai mentaliti kebencian dan ketakutan terhadap kaum di Malaysia. Usaha perpaduan dan rekonsiliasi nasional juga akan gagal seandainya kita membiarkan wujudnya pihak pelampau kaum yang sentiasa berusaha untuk mewujudkan ketegangan dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.

Saya masih berharap untuk melihat komitmen sebenar Perdana Menteri dan Jabatannya yang mempunyai dana yang begitu besar setiap tahun untuk betul-betul melaksanakan usaha perpaduan nasional, bukan sekadar membuat slogan demi meraih sokongan politik.

Kekecohan di Dewan yang mulia ini pada Khamis lalu sepatutnya boleh dielak. Rakyat turut hairan dengan tingkah laku kerajaan di Parlimen yang tanpa segan silu mencadangkan sebuah usul yang sangat tidak adil terhadap seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat. Adakah Dewan ini tidak ada kerja lain yang lebih penting? Bukankah masa sepatutunya diluangkan di Dewan ini untuk membincangkan soal siaran langsung prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bakal berlangsung dua hari lagi dan lebih mempunyai kepentingan umum? Bukankah itu jauh lebih penting daripada tindakan membalas dendam terhadap seorang wakil rakyat yang cuba berjuang membela nasib rakyat dan menegakkan perlembagaan negara?

Masanya sudah tiba untuk kita berusaha bersama demi merealisasikan Impian Malaysia dan menyelamatkan rakyat daripada ‘Mimpi Ngeri Malaysia’ yang panjang ini.