Berita

Letak UiTM sebagai universiti diraja berisiko cemar nama institusi raja – Datuk Mohd Ariff Sabri

KUALA LUMPUR, 18 NOVEMBER: Cadangan meletakkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai universiti diraja supaya tidak ‘diancam’ bukan ‘lesen’ untuk lebih kebal kerana wibawa UiTM terletak pada mutu dan kredibiliti univeriti itu menghasilkan graduan bermutu tinggi.

Malah, cadangan itu hanya akan mengheret dan memberi persepsi negatif terhadap institusi istana ke dalam suatu tindakan politik yang hanya akan mendedahkan raja-raja Melayu kepada serangan jika universiti berkenaan gagal menunjukkan prestasi seunggul namanya.

Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mengulas tindakan kementerian yang mahu mempertimbangkan cadangan itu.

Menurutnya, cadangan meletakkan status UiTM sebagai universiti diraja hanya satu retorik yang datang daripada golongan kanan Melayu mahu menjadi lebih Melayu daripada Melayu lain.

“Mereka fikir kalau letak raja di sana, orang akan takut kritik dan mempertikaikan UITM. Tapi sebenarnya tidak ada orang yang takut.

“Kalau kita lihat setiap tahun kerajaan beri peruntukan lebih kurang RM3 billion, isu sebenarnya adakah rakyat akan senyap jika melihat dengan perbelanjaan ini, prestasi UITM tidak memuaskan? Kalangan Melayu sendiri akan mempertikai UITM tanpa mengira samada terdapat perkataan diraja pada UITM atau tidak,” katanya.

Mohd Ariff Sabri berkata, dengan peruntukan sebanyak itu rakyat Malaysia khususnya orang Melayu sendiri akan mempertikai mutu dan prestasi graduan Melayu dan Bumiputera lulusan UITM jika tidak memuaskan.

“Sebenarnya ia bukan persoalan membabitkan kedudukan orang Melayu pun, yang dipertikaikan ialah jika Melayu tidak menunjukkan kredibiliti mereka. Ini semua kena faham.

“Jika kita dengar Melayu diancam, ancaman itu sebenarnya dicipta oleh UMNO sendiri. Ancaman terbesar bukan datang daripada bangsa lain, tapi daripada kalangan orang Melayu sendiri yang meluat dengan tindak tanduk UMNO akibat hanya mengayakan segelintir Melayu yang terpilih,” jelasnya.-Roketkini.com