Berita

DAP pertikai tindakan Menteri sembunyi jumlah bayaran peguam kes liwat Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching mempertikai jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Nancy Shukri yang enggan mendedahkan jumlah bayaran Jabatan Peguam Negara kepada peguam yang mewakili kerajaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Bayaran itu dibuat kepada Shafee dalam kes rayuan liwat dua terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Nancy tidak sepatutnya menyatakan ia tidak boleh didedahkan atas sebab ia merupakan ‘kerahsiaan di antara peguam dan anak guam’.

“Sebagai peguam, kerahsiaan ini hanya diguna pakai dalam kes peguam mendedahkan butiran anak guamnya atau butiran kes itu.

“Ia tidak diguna pakai dalam pendedahan bayaran yang dibuat pelanggan kepada peguam,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi rahsia antara majikan dan pelanggan kerana bekas Menteri JPM, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan jumlah kos perbelanjaan dan guaman dalam kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap inkues kematian Teoh Beng Hock.

Nazri menyatakan, kos perbelanjaan SPRM termasuk menggunakan khidmat ahli patologi United Kingdom, Dr Peter Venezis berjumlah RM90,680 yang meliputi perbelanjaan tiket penerbangan, penginapan, makanan, pengangkutan dan bayaran khidmat profesional dalam jawapan sidang Parlimen pada 5 Oktober 2011.

“Bayaran guaman Shafee untuk kes terbabit berjumlah RM150,000. Mengapa selepas dua tahun kerajaan menukar polisi ini.

“Kenapa kerajaan mendengar cakap peguam untuk tidak mendedahkan jumlah bayaran kerana ia membabitkan penggunaan wang pembayar cukai.

“Terma ‘menghormati etika hubungan profesionalisme dan kerahsiaan antara majikan dan pelanggan ini tidak boleh diguna pakai,” ujarnya.

Pada masa sama, Nie Ching turut mempertikai tindakan kerajaan yang tidak menggunakan khidmat peguam daripada Pejabat Peguam Negara untuk mengendalikan kes berkenaan. -Roketkini.com