Berita

Kerajaan Johor digesa dedah gaji pegawai tinggi Perbadanan Johor dan anak syarikatnya – ADUN Stulang

JOHOR BAHRU, 19 NOVEMBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Stulang, Chen Kah Eng menggesa kerajaan negeri Johor mendedahkan jumlah gaji setiap ahli lembaga pengarah Perbadanan Johor dan semua anak syarikatnya memandangkan prestasi buruk dalam pengurusan mereka.

Gesaan ini dibuat rentetan soalan berkenaan hal itu membabitkan Damansara Asset Sdn Bhd (DASB) dan Syarikat Air Johor Holding (SAJ) ditolak di Dewan Undangan Negeri Johor atas alasan ‘rahsia’.

“Gaji kita sebagai ADUN, barisan Exco, Menteri Besar, Speaker dan sebagainya boleh diumumkan. Mengapa jumlah gaji syarikat yang diterima Lembaga Pengarah dan Pengurus Kanan diklasifikasikan sebagai rahsia lebih-lebih lagi syarikat itu di bawah seliaan kerajaan negeri.

“Apakah masalahnya sehingga maklumat itu tidak boleh diketahui umum? Adakah kerajaan negeri mempunyai maklumat yang cuba disembunyikan?,” soal Kah Eng.

Menurutnya, gesaan pendedahan itu dibuat berdasarkan prestasi buruk dan teguran Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Semakan audit mendapati DASB iaitu anak syarikat Perbadanan Johor berbelanja lebih dalam projek ubahsuai Plaza Kotaraya Johor Bahru daripada kos anggaran awal sebanyak RM19 juta melonjak kepada RM41.27 juta.

“Syarikat itu juga lewat dalam projek ubahsuai Komtar Johor Bahru iaitu 24.12 peratus sehingga September 2013. DASB juga gagal membuat bayaran dividen kepada Perbadanan Johor pada 2009 hingga 2011 atas saham biasa,” dedah beliau.

Selain itu, antara masalah lain yang dihadapi ialah kegagalan DASB mengutip tunggakan sewa yang tidak aktif bagi bangunan milikan syarikat lain yang diuruskan DASB. Dalam masa sama, DASB gagal memperbaharui perjanjian dengan syarikat perkhidmatan yang sudah tamat tempoh.

“Sebab itu kita hairan, adakah gaji mereka terlalu tinggi sehingga Kerajaan Johor rasa tertekan untuk mengumumkan kepada orang awam?,” soalnya.

“Perbadanan Johor dan semua anak syarikat di bawahnya perlu mengumumkan gaji mereka kepada orang awam supaya prestasi mereka boleh dipantau rakyat Johor. Lebih-lebih lagi urusan syarikat itu berkait rapat dengan pembangunan negeri,” kata beliau.

Kah Eng menambah, mereka yang memegang jawatan tinggi juga akan lebih berhati-hati dalam segala urusan dan keputusan yang mereka buat, kerana mereka sentiasa dipantau dan mesti bertanggungjawab terhadap kesilapan, ketidak-cekapan, kecuaian, pembaziran, kelewatan, penyelewengan dan pelbagai kelemahan.

“Kumpulan Perbadanan Johor mencatatkan perolehan tahunan 2012 yang menjangkau RM5.64 billion dengan liabiliti setinggi RM8.437 billion.

“Jumlah ekuiti yang dipegang sudah mencecah RM5.802 billion. Jadi, rakyat berhak mengetahui gaji mereka yang mengurus syarikat itu kerana ia melibatkan angka yang tinggi. Kita tidak mahu kesilapan demi kesilapan terus dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara,” katanya lagi.-Roketkini.com