Berita

Impian Sarawak: Bumiputera Sarawak harus bersatu tuntut hak, tumbangkan BN

BAU, 19 NOVEMBER: Walaupun Sarawak antara negeri terkaya di Malaysia, masih ramai masyarakat di negeri Kenyalang itu hidup serba kekurangan dan mundur kerana tidak dipedulikan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Berucap pada majlis pembukaan Rumah Gawai Kampung Serikin baru-baru ini, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, projek Impian Sarawak adalah satu usaha bagi mendekati masyarakat Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman dalam rangka memberi perkhidmatan dan mendekati penduduk kampung.

Menurut beliau, apa yang berlaku di Sarawak jauh berbeza dengan negeri di Semenanjung yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR).

“Walaupun Selangor hanya berpendapatan kira-kira RM2 bilion setahun berbanding Sarawak yang berpendapatan RM5 bilion, setahun, kerajaan Selangor mengagihkan pendapatan negeri kepada rakyat melalui pelbagai program merakyatkan ekonomi.

“Sarawak kaya daripada Selangor tapi rakyat tidak menikmatinya. Kita perlu tunjukkan kepada BN bahawa kita berhak mendapat yang lebih baik,” ujar beliau di hadapan lebih 200 penduduk kampung yang hadir.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen pula berkata, projek kedua membaikpulih Rumah Gawai Impian Sarawak yang dilaksanakana di Kampung Serikin ini adalah bukti komitmen DAP mengubah kehidupan masyarakat negeri itu.

“Sepatutnya ini bukan tanggungjawab DAP, tetapi ia tanggungjawab kerajaan BN yang dipilih rakyat Bumi Kenyalang.

“Selepas mereka dipilih jadi kerajaan, mereka kutip cukai. Dengan duit itu sepatutnya mereka menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat.Tapi di Sarawak, rasuah banyak berlaku. Semua pun tahu, duit rakyat banyak digunakan untuk memperkayakan ahli politik.

“Berbeza di Pulau Pinang dan Selangor, dengan program kebajikan yang dilaksanakan, kahwin pun dapat, mati pun dapat duit,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San pula menempelak sikap BN yang sering menggunakan taktik kotor demi meraih undi.

“Nak pilihan raya baru nak buat kerja. Masa itulah baru nak tar jalan, bagi bantuan itu dan bantuan ini, sebelum itu mereka buat apa?,” soalnya.

Beliau turut menceritakan pengalamannya menaiki bas persiaran dari Miri ke Kuching.

“Mana dia Lebuhraya Pan Borneo yang mereka kata? Jalan kampung sahaja. Perkara ini tak patut berlaku dan Sarawak pula bukan negeri miskin,” katanya.

Turut memberikan ucapan ialah Ahli Parlimen DAP Stampin, Julian Tan Kok Ping yang mempertikaikan komitmen kerajaan terhadap perjanjian Malaysia.

“Kita lihat di Sarawak ramai rakyatnya yang miskin. Dalam perjanjian pembentukan Persekutuan Malaysia, pembangunan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu seimbang.

“Tapi apa yang kita lihat adalah sebaliknya. Sudah sampai masanya Sarawak maju dan kita mesti bersatu,” kata beliau.

Objektif Impian Sarawak adalah untuk memperluaskan perkhidmatan parti dan memupuk kesedaran politik kepada masyarakat luar bandar negeri itu yang masih jauh ketinggalan mengecapi kemajuan kemudahan asas yang wajar.

Ia memberi fokus dalam menyediakan infrastruktur asas seperti kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya membabitkan penyertaan sukarelawan dan penduduk setempat.

Bagi mereka yang berminat menjadi sukarelawan Impian Sarawak, sila lawati http://impiansarawak.com dan sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel ke [email protected] – Roketkini.com