Berita

Isu batal saman AES tidak selesai, Hishamuddin disaran fokus pada Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR, 19 NOVEMBER: DAP sekali lagi menggesa Kementerian Pengangkutan membatalkan saman AES yang berjumlah RM200 juta dan mengembalikan semula kutipan RM20 juta yang dibayar pengguna serta jangan berdolak-dalik mengenai perkara berkenaan.

Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok Suh Sim kesal dengan sikap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana bukan kali pertama kementerian mengumumkan untuk menyelesaikan isu itu.

“Sebelum 18 Oktober lalu Hishammuddin kata mahu selesaikan status saman AES yang terdahulu, semalam beliau tangguhkan lagi.

“Kenapa boleh tangguh lagi? Mungkin ini mewajarkan beliau berkhidmat untuk Kementerian Pertahanan saja supaya beliau boleh fokus mengenai isu keselamatan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Teresa, pada September lalu, Hishammuddin dilaporkan berkata keputusan membatalkan saman AES akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, pada 21 Oktober lalu pula, Hishammuddin berkata, isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pula.

“Berdasarkan jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng, pada 17 Julai lalu, sebanyak 673,339 saman dikeluarkan dan sejumlah RM20 juta kompaun dikutip.

“Ketika menjawab soalan saya pada 22 Oktober baru-baru ini, kementerian menyatakan sehingga 8 Oktober 2013, sebanyak 882,298 saman AES dikeluarkan dengan 91,457 saman dibayar kompaun berjumlah RM27,437,100.

“Ia menunjukkan dalam tempoh tidak sampai tiga bulan, sebanyak 208,959 saman lama dan baru dikeluarkan,” katanya lagi.-Roketkini.com