Berita

Tanah diambil pemaju, nasib penduduk kampung Station 18 Ipoh tidak menentu

IPOH, 19 NOVEMBER: Nasib penduduk tiga kampung iaitu Kampung Sri Keramat, Kampung Sri Murni dan Kampung Tok Cendang seluas 84 ekar yang menjadi mangsa pengambilan balik tanah tidak menentu apabila berhadapan masalah dan manipulasi berunsur penipuan membabitkan penempatan semula.

Penduduk difahamkan tapak kediaman di kawasan pembangunan baru Station 18 itu diluluskan kepada sebuah syarikat, Galian Makmur Sdn Bhd bagi projek pembangunan dan perumahan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How, penduduk kampung itu sudah menerima surat arahan mengosongkan kediaman mereka dalam tempoh sebulan bagi membuka ruang kepada pemaju menjalankan perobohan.

“Sebagai penyelesaian dan rancangan penempatan semula, penghuni diberi tawaran selot tanah gantian bergeran.

“Tapi, nasib mereka tidak menentu kerana terpaksa membayar RM10,000 untuk mendapatkan satu lot tanah dan bayaran premium,” katanya ketika melawat bersama ADUN PAS Sungai Rapat, Ustaz Radzi Zainon.

Lebih menyedihkan kata Howard, tapak yang disediakan pula jauh lebih kecil daripada yang dijanjikan iaitu berkeluasan 45×70 kaki berbanding 50×80 kaki seperti yang dipersetujui bersama.

“Ada pula yang berkemampuan membayar premium tanah melalui pinjaman peribadi tetapi tidak dilayan bank dan institusi kewangan untuk mengambil pinjaman pembinaan rumah,” katanya.-Roketkini.com