Berita

Henti perjudi nyawa rakyat, ubah segera hala tuju dasar pengangkutan negara

KUALA LUMPUR, 19 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperakui laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan berhenti memperjudikan nyawa rakyat.

Beliau berkata, Najib harus merencanakan satu strategi menyeluruh seperti mana yang terdapat dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR).

“Najib harus memperakui laporan MIROS termasuk mengambil cadangan manifesto PR untuk memansuhkan dasar ‘protectionism’ industri kenderaan zaman Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau juga harus mengubah dasar pengangkutan negara kepada pembangunan jaringan pengangkutan awam secara besar-besaran di seluruh negara yang pada peringkat awalnya, menerima tawaran RM10 juta setahun oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mempertingkatkan perkhidmatan bas awam Rapid Penang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, had jangka hayat kereta perlu dilaksanakan secara beransur-ansur selepas kejayaan seperti yang dinyatakan itu supaya tidak membebankan rakyat.

Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan berkata demikian merujuk pendedahan MIROS yang menyatakan kereta berusia melebihi 12 tahun tidak selamat dan teksi lebih daripada lima tahun juga berdepan masalah sama sekaligus membuktikan bahawa kerajaan sememangnya memperjudikan nyawa rakyat.

Menurut Sim, dasar yang berpremiskan ‘protectionism’ membuatkan rakyat terutama anak muda tidak punya pilihan melainkan terpaksa membeli kereta dengan harga mahal.

Tegasnya, mengikut Bank Negara pada suku pertama 2013, hutang isi rumah paling besar datang daripada pinjaman perumahan (45 peratus) dan pinjaman sewa beli kenderaan (18 peratus).

“Ramai terpaksa membiayai pinjaman kenderaan sehingga 9 tahun. Ini bermakna sebaik sahaja berjaya menjelaskan hutang, kereta yang mereka miliki sudah tidak selamat untuk dipandu. Dalam keadaan ini, anak muda yang paling merana, kerana 83 peratus anak muda berumur 30 tahun ke bawah mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

“Tanpa kereta persendirian mereka sukar untuk melaksanakan pekerjaan kerana sistem pengangkutan yang teruk dan kini melalui kenyataan MIROS, anak muda menghadapi masalah iaitu tak beli kereta susah, beli susah, sudah beli pun susah.
“Selamatkan nyawa rakyat, ubah segera hala tuju dasar pengangkutan negara,” tegasnya.

Tambahnya, pemandu teksi turut buntu kerana terpaksa bergantung kepada kenderaan mereka untuk mencari makan, dengan kebanyakannya terpaksa membiayai sewa beli teksi daripada lima kepada enam tahun sebelum memiliki teksi itu.

Namun sebaik sahaja tamat membiayai sewa beli teksi, kenderaan yang dipakai tidak selamat digunakan.-Roketkini.com