Berita

DBKL digesa batal kenaikan cukai taksiran, beri masa dua bulan teliti – Tan Kok Wai

KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membatalkan segera penilaian semula cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur sehingga satu perbincangan dan penjelasan lanjut diberi kepada Ahli Parlimen PR di Wilayah Persekutuan itu.

Bercakap pada sidang Parlimen sebentar tadi, Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai berkata, DBKL tidak ada sebab munasabah untuk menaikkan cukai berkenaan memandangkan prestasi kewangan DBKL dijangka akan lebih baik daripada sebelumnya.

“Kita dapat lihat pada 2011 sahaja DBKL mencatatkan peningkatan sebanyak RM241 juta kepada RM1.69 bilion daripada tahun sebelumnya dan dijangka terus meningkat pada 2012,” katanya.

Menurut beliau, kenaikan itu kerana peningkatan bilangan hartanah yang dikenakan cukai taksiran.

Bagaimanapun, Kok Wai berkata, PR akan tetap membabitkan diri dalam pertemuan bersama Menteri Wilayah, esok.

“Ini adalah tanggungjawab setiap pihak dalam satu sistem demokrasi. Kita meletakkan syarat supaya diberi salinan pelan deraf dan pengezonan terbaru yang dibuat DBKL sebelum proses pewartaan.

“Kita juga meminta diberi masa dua bulan untuk meneliti, mengkaji dan memberi maklum balas mengenai isu berkaitan kehilangan kawasan lapang atau pertambahan kepadatan penduduk yang melampau,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen PKR Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong.-Roketkini.com