Berita

Lebih 1.5 juta hektar hutan hilang akibat pembalakan, Malaysia tempat ke-9 dunia

KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER: Kerajaan didesak bertindak terhadap kehilangan 47,278 kilometer persegi kawasan hutan hujan tropika sejak tiga tahun lalu yang menjadikan Malaysia menduduki tempat ke-9 dunia kehilangan kawasan hutan.

Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming, berkata keluasan kehilangan kawasan hutan itu sama dengan keluasan negara Denmark dan kedudukan Malaysia pula hampir sama dengan negara seperti Russia, Brazil, Amerika Syarikat, Indonesia, China, Republik Congo dan Australia.

“Apa yang mengejutkan kawasan hutan yang hilang dalam tempoh tiga tahun itu sama dengan kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia iaitu 47,927 kilometer persegi merujuk kepada jawapan Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,” ujarnya.

Kor Ming berkata, kebanyakan hutan ini diteroka untuk industri penanaman kelapa sawit yang meningkat sebanyak 50 peratus atau 17,000 kilometer persegi dalam tempoh tiga tahun walhal Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menetapkan kuota tahunan pembalakan hanya 40,334 hektar.

“Jika kita bahagikan kehilangan 47,278 kilometer persegi kawasan hutan, ia bermakna setahun Malaysia hilang 15,759 kilometer persegi hutan.

“Ia bermakna kita sudah hilang 1.5759 juta hektar hutan dengan perbezaan 3,907 peratus daripada had yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Justeru beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara menyiasat perkara ini demi memulihara kawasan hutan negara yang berusia ribuan tahun daripada terus menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago pula mahu kerajaan memperkasa unit penguatkuasaan demi membanteras pembalakan haram yang berleluasa.

“Bagaimanapun kita ada dua masalah utama iaitu kekurangan tenaga penguatkuasa dan masalah rasuah.

“Kalau ini tidak dipeduli, lama kelamaan kita akan berhadapan dengan masalah kekurangan oksigen dan pencemaran terhadap sumber air,” katanya.-Roketkini.com