Berita

Minta naik bayaran tahunan kepada Kedah, bukti mentaliti Mukhriz masih belum merdeka

KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER: DAP menyifatkan tindakan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir amat memalukan apabila meminta kerajaan Pusat menaikkan bayaran tahunan Pulau Pinang kepada Kedah sebanyak RM10,000 melalui perjanjian penjajah sejak 1786.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, permohonan Mukhriz yang bersungguh-sungguh merujuk kepada perjanjian berusia 227 tahun ketika Tanah Melayu dijajah British itu menunjukkan beliau masih terperangkap dalam mentaliti terjajah.

Menurutnya, Mukhriz sepatutnya memberi fokus untuk memajukan Kedah demi kebajikan rakyat, bukannya mencuba nasib meminta dana tambahan daripada kerajaan melalui pintu belakang dengan alasan perjanjian itu.

“Ayahanda beliau, Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pada 1994 pernah menolak tuntutan yang sama oleh MB Kedah ketika itu, Osman Aroff.

“Malah Dr Mahathir menegaskan perjanjian dan pembayaran itu sebagai ‘meaningless’ serta tidak membawa sebarang makna. Jadi, apa yang dinyatakan Mukhriz pastinya memalukan bapanya sendiri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan turut menyeru kerajaan menghentikan legasi penjajah dan memansuh bayaran tahunan RM10,000 Pulau Pinang kepada Kedah.

“Legasi penjajah harus dihentikan. Kita sudah 56 tahun merdeka dan Kedah serta Pulau Pinang adalah negeri berjiran bernaung di bawah Persekutuan Malaysia.

“Kebenaran ini sudah termaktub dalam Perlembagaan bahawa kedua-dua negeri itu berbeza dan ini terkandung dalam Perkara 1(2).

“Lebih baik wang itu disalurkan secara terus kepada dana pembangunan Kedah demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat negeri,” tegasnya. -Roketkini.com