Berita

Kerajaan PR Selangor rangka enakmen baru, beri kuasa penuh PBT bendung pusat judi siber

SHAH ALAM, 21 NOVEMBER: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan merangka satu kajian menyeluruh untuk membenarkan satu enakmen baru yang boleh memberi lebih kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu membendung pertumbuhan pusat judi siber.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Teng Chang Khim berkata, kuasa PBT kini masih terhad kerana hanya mempunyai kuasa menyita dan mendenda premis sebanyak RM1,000.

Menurutnya, satu enakmen yang lebih berkesan perlu dirangka supaya permasalahan itu tidak merebak pada tahun akan datang.

“Melalui enakmen baru yang akan dirangka ini, ia membolehkan pusat siber haram dirampas dan dilelong.

“Kuasa sedia ada tidak membenarkan kita melaksananya dan satu enakmen lebih berkesan diperlukan kerana selepas disita ia dibuka semula, jadi kerajaan negeri harus melakukan sesuatu kerana kuasa mutlak berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

“Enakmen baru diperlukan dan ia harus boleh diguna pakai kepada semua PBT bagi memberi kuasa lebih besar kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan terhadap pusat siber yang tidak berlesen,” katanya pada perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan ADUN BN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif.

Katanya lagi, sebagai langkah awal setiap pusat siber akan disyaratkan mengguna dua perisian yang dibenarkan sebelum memperoleh lesen perniagaan.

“Cara ini untuk memastikan mereka menjalankan perniagaan mengikut undang-undang. Kerajaan negeri juga bercadang membekalkan alat keselamatan kepada penguatkuasa PBT kerana risiko tugas ketika melakukan operasi penguatkuasaan.

“PBT Selangor sentiasa melakukan usaha pemantauan tetapi tidak mampu menghapuskan premis yang menjalankan kegiatan tidak bermoral itu secara menyeluruh. Kita boleh menyita premis dan barangan, tetapi selepas pemilik premis membayar denda RM1,000, mereka membuka semula premisnya,” katanya. -Roketkini.com