Berita

Batal amalan perbahasan Kajian Separuh Penggal, kerajaan tidak tulus laksana RMK

KUALA LUMPUR, 21 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong membidas jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang menyatakan amalan perbahasan Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia ke-10 (RMK) telah dibatalkan di Parlimen.

Razali mendakwa, pembatalan itu kerana RMK kini diletakkan sebagai ‘rancangan boleh pinda’ yang membolehkan pindaan dibuat apabila kerajaan memilih untuk berbuat demikian.

“Saya tidak ada masalah dengan idea beralih daripada Kajian Separuh Penggal kepada ‘rancangan boleh pinda’ jika itu adalah hasrat kerajaan. Tetapi perlu ada satu proses kajian semula RMK-10 di Parlimen untuk meneliti dan memeriksa tindakan kerajaan bagi pihak rakyat.

“Konsep ‘rancangan boleh pinda’ hanya satu nama lain untuk kerajaan menghapuskan mekanisme sedia ada iaitu kajian semula Parlimen terhadap RMK.

“Pelan dan dokumen berkaitan termasuk Kajian Separuh Penggal ini menjadi sumber maklumat dan data penting kepada ahli akademik, perancang, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta untuk menjalankan perancangan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP turut menyeru kerajaan membentangkan kajian terperinci ‘rancangan boleh pinda’ RMK-10.

“Jika tidak, penghapusan Kajian Separuh Penggal ini ternyata menafikan hak Parlimen dan rakyat yang diwakili untuk meneliti pelan jangka panjang kerajaan,” ujarnya.

Razali dalam jawapannya juga menyatakan bahawa laporan tahunan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) adalah mekanisme sama yang membincangkan kecacatan kerajaan.

“Laporan GTP bukannya RMK dan laporan GTP itu tidak pernah dibahaskan di Parlimen,” tegas Chin Tong. -Roketkini.com