Berita

Bantahan hebat penduduk, PR yakin cukai taksiran tidak dinaik

KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER: Pakatan Rakyat (PR) yakin cadangan menaikkan cukai taksiran terhadap pemilik hartanah di Kuala Lumpur tidak akan menjadi kenyataan berikutan bantahan hebat warga kota.

Menurut mereka, keputusan menentukan kenaikan cukai taksiran kini bergantung kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan desakan kerajaan yang menyaksikan peningkatan nilai taksiran kepada pemilik hartanah bandar.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang, Fong Kui Loon berkata, beliau optimis kerajaan akhirnya akan mengkaji semula cukai taksiran yang mengejutkan penduduk setelah menerima notis cadangan kenaikan yang begitu tinggi.

“Kadar semasa tarif cukai bagi hartanah komersil ialah 12 peratus, manakala unit kediaman 6 peratus dan 10 peratus bagi hartanah tidak dibangunkan.

“Kajian semula dua atau tiga peratus kadar cukai tentunya akan mengurangkan beban penduduk,” tegasnya.

Semua Ahli Parlimen PR Kuala Lumpur hadir semalam dalam pertemuan dengan Tengku Adnan untuk membincangkan isu terbabit di Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok pula menegaskan, hasil perbincangan semalam, DBKL bersetuju mendengar semula bantahan isi rumah sehingga 17 Disember ini.

“Dialog akan berlangsung sehingga 1 Januari tahun depan. Tengku Adnan akan menggunakan kebijaksanaannya memilih sama ada pelaksanaan nilak taksiran akan dikurangkan atau tidak.

“Terdapat pelbagai cara pengiraan bagi nilai taksiran. Selain pengiraan berdasarkan nilai hartanah, ciri kiraan juga dilakukan berdasarkan harga sewa,” katanya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, penilaian hartanah di bandar dilakukan oleh Jabatan Penilaian.

“Kami diberitahu penilaian sebenarnya 10 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran hartanah.

“Kami juga mendapat tahu dana kepada DBKL dikurangkan beberapa tahun ini dan kerajaan mahu mereka bebas daripada segi kewangan serta mampu mengumpul dana untuk memenuhi sebahagian besar perbelanjaan,” katanya. -Roketkini.com