Berita

DAP kecam pembohongan Tuan Tat, sikap tak profesional ROS dedah laporan kepada pihak ketiga

KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER: DAP mengecam keras pembohongan segolongan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa laporan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 8 November lalu tidak lengkap.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tuduhan bekas Pengerusi DAP cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, semalam, sama sekali tidak berasas dan berniat jahat untuk mencalit imej negatif kepada parti.

“Saya nak tanya Tuan Tat, macam mana dia boleh tahu kononnya laporan yang kami serahkan itu tidak lengkap? Adakah beliau sekarang sudah menjadi Pegawai ROS?

“Sekiranya ROS mengatakan laporan itu tidak lengkap, mereka sepatutnya menghantar surat makluman atau pemberitahuan kepada kami tetapi sehingga kini kami tidak menerima sebarang surat yang dihantar ROS.

“Saya juga ingin tanya, adakah ROS tidak bersikap profesional hingga menyebabkan laporan yang kami hantar boleh terdedah kepada pihak ketiga (Tuan Tat),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kenyataan Tuan Tat yang menyatakan antara dokumen pada Kongres Khas, 29 September lalu yang didapati tidak lengkap adalah senarai nama perwakilan CEC sebanyak 2,576 orang.

Menyelar dakwaan itu, Anthony menegaskan laporan yang dihantar tidak memerlukan senarai nama perwakilan melainkan jumlah orang yang membuang undi, senarai pemenang dan senarai ahli jawatankuasa baru.

“Kalau senarai nama perwakilan seramai 2,576 orang itu perlu dihantar, saya nak tanya ROS, adakah UMNO menghantar senarai nama perwakilan mereka yang dikatakan mempunyai lebih 100,000, adakah nama itu diberikan?

“Ini adalah satu tindakan yang tidak profesional dan kami meminta ROS segera memberi maklum balas kerana kami sudah menghantar laporan.

“ROS juga perlu mengiktiraf CEC baru iaitu ahli sama yang dipilih dalam kongres khas baru-baru ini secepat mungkin,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Seremban menafikan satu lagi fitnah yang dinyatakan Penolong Setiausaha DAP Taman Seri Sungai Pelek, Wong Yu Liuh mengenai penambahan 120 cawangan yang dijemput hadir pada Kongres Khas berbanding 865 pada pemilihan Disember tahun lalu.

“Saya nak memperjelaskan supaya jangan ada lagi salah faham atau pihak tidak bertanggungjawab cuba mengeliru dan memutarbelit isu ini.

“Memang ada pertambahan baru dan kita sudah maklumkan kepada mereka mengenai Kongres Khas tetapi ini tidak bermaksud semua cawangan itu mempunyai perwakilan, ada cawangan yang baru ditubuhkan tetapi tidak ada perwakilan, tapi kita tetap memaklumkan kepada mereka,” katanya. -Roketkini.com