Berita

Tuduh Belanjawan Kerajaan Selangor tidak berimbang, bukti Ketua Pembangkang BN habis modal

PETALING JAYA, 22 NOVEMBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Shamsudin Lias bahawa Belanjawan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor 2014 tidak berimbang sebagai tuduhan liar dan membuktikan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu kehabisan modal.

Beliau berkata, tindakan itu menunjukkan betapa Shamsudin tidak memahami maksud belanjawan berimbang yang diguna pakai kerajaan negeri.

“Belanjawan berimbang bermakna kerajaan akan membelanjakan wang dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan (Consolidated Funds) mengikut pendapatan yang dijangka dapat dikutip kerajaan dalam satu-satu tahun.

“Dalam konteks Selangor, kerajaan menerima pakai konsep rolling budget, iaitu hanya akan membelanjakan wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan sekiranya ada penambahan pendapatan. Ini sebabnya mengapa kerajaan membentangkan Enakmen Perbekalan Tambahan setiap kali Dewan bersidang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsudin pada 20 November lalu ketika perbahasan mendakwa Belanjawan Kerajaan Negeri PR Selangor 2014 berjumlah RM1.85 bilion ialah belanjawan tidak berimbang kerana menggunakan rizab kerajaan sebanyak RM430 juta untuk beberapa inisiatif pembangunan.

Weng San yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor berkata, perkara itu berlaku kerana kerajaan negeri memperkenalkan amalan menyemak belanjawan negeri setiap enam bulan.

Jelasnya, konsep semakan berkala ini bermula apabila Perbendaharaan Negeri digesa membuat imbangan pada penyata kewangan pada setiap akhir bulan.

“Dengan cara ini, kerajaan negeri dapat memantau keseimbangan di antara perbelanjaan dan pendapatan agar kerajaan tidak berbelanja di luar kemampuan sehingga mengakibatkan defisit.

“Harus diingat bahawa mengikut Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri tidak dibenarkan mendapat pinjaman daripada luar kecuali mendapat kebenaran Kerajaan Pusat. Ini bermakna kerajaan negeri hanya boleh bergantung kepada kekuatan kewangan sendiri dan berbelanja mengikut kemampuan,” ujarnya.

Shamsudin turut menuduh peruntukan tambahan sebanyak RM430 juta daripada rizab kerajaan untuk beberapa inisiatif pembangunan adalah kompromi pihak eksekutif akibat desakan memorandum daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BackBenchers Club – BBC).

Menyelar dakwaan tidak masuk akal itu, Weng San menegaskan BBC memang pernah menghantar satu memorandum kepada pihak eksekutif tetapi ia adalah perkara biasa dan menjadi amalan untuk memberi input dari semasa ke semasa.

Katanya, penggunaan wang rizab untuk tujuan pembangunan tidak sepatutnya menjadi isu kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah wang daripada rizab Kerajaan Selangor supaya dapat membina Jambatan Klang ketiga.

“Belanjawan 2014 masih berimbang kerana RM430 juta ini diambil daripada rizab, bukan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan. Persoalannya kini, adakah Ketua Pembangkang ketandusan isu sehingga terpaksa menggembar-gemburkan perkara remeh-temeh?,” soalnya. -Roketkini.com