Berita

Penduduk Kepong bantah pembinaan insinerator

KUALA LUMPUR, 25 NOVEMBER: Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) menggesa kerajaan segera menarik semula cadangan pembinaan insinerator di Taman Beringin, Kepong yang terbukti tidak membawa sebarang manfaat melainkan kemudaratan kepada penduduk sekitar.

Pengerusi KTI, Isaiah Jacob berkata, kerajaan perlu memikirkan langkah lebih efektif daripada terus membina insinerator jika benar mereka komited untuk memelihara alam sekitar.

“Pembinaan insinerator di Kepong perlu dihentikan. Bukan ini cara terbaik mendidik rakyat. Rakyat harus dididik daripada awal untuk belajar dan mengamalkan 3R iaitu ‘recycle, reuse dan reduce’.

“Sepatutnya 3R ini lebih ditekankan kerana ia tidak membawa kemudaratan dan boleh mengurangkan kos pelupusan sampah.

“Pembakaran sampah melalui insinerator ini lambat laun akan membawa masalah kesihatan seperti kanser, asma dan kecacatan kepada kanak-kanak baru lahir akibat pembebasan gas beracun daripada plumbum dan bahan kimia lain,” katanya pada sidang media, di Tingkat Dua, bangunan Parlimen, hari ini.

Hampir 100 orang penduduk bersama KTI hari ini berarak sejauh 15 kilometer ke Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kempen KTI setakat ini berjaya menghimpunkan sebanyak 12,499 tandatangan sejak dilancarkan Oktober lalu.

Turut hadir pada sidang media terbabit adalah Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming; Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen PKR Batu, Tian Chua dan beberapa pimpinan lain.

Cadangan kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membina insinerator di Taman Beringin, Kepong mendapat bantahan hebat kerana berhampiran dengan kawasan perumahan yang didiami lebih 1,000 penduduk. -Roketkini.com