Rencana

Impian Sarawak: Kampung Serikin semesra orangnya, paluan gong pembangkit semangat – Hafiz Zainuddin

KAMPUNG Serikin terkenal bukan semata-mata kerana bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia. Kalau tidak kerana kerepek sukun atau pelbagai jenis mini samosa dan popiah goreng, ia mungkin tidak semeriah sekarang.

Bagaimanapun, bukan sebab kerepek dan popiah semata-mata, kalau mahu mencari telekung bunga dan baju Melayu Indonesia yang boleh bertawar murah-murah, inilah tempatnya.

Maka, setiap hujung minggu, riuh rendah kampung yang sepi dan aman ini dengan kedatangan pelancong dari pelbagai tempat di Sarawak, Semenanjung Malaysia malah dari luar negara.

Ada yang sanggup datang 80 kilometer dari Kuching semata-mata mahu memborong kerepek. Ada yang datang semata-mata mahu mencari telur penyu atau madu dari Kalimantan.

Tidak cukup kalau ke sini semata-mata mahu membeli belah. Seperkara yang perlu diketahui semua, kampung nan permai ini juga duduk letaknya lebih 200 keluarga kaum Bidayuh yang rata-ratanya bekerja kampung, berniaga dan bertanam kecil-kecilan dan sudah tentu, sambutan Hari Gawai dengan etnik Dayak tidak dapat dipisahkan.

Bagaimanapun, difahamkan sudah beberapa tahun mereka tidak menyambut Hari Gawai kerana Rumah Gawai kampung itu sudah terlalu uzur untuk digunakan. Walhal, Rumah Gawai ini merupakan tonggak simbol perpaduan masyarakat selain digunakan bagi ritual dan sambutan Hari Gawai. Di sinilah nadi dan semangat gotong royong dan jalinan silaturrahim dapat dipupuk.

Krew Publisiti DAP dan Roketkini.com berpeluang mengikuti secara dekat aktiviti Impian Sarawak yang mengorak langkah mengambil inisiatif membaik pulih Rumah Gawai Kampung Serikin yang berusia kira-kira 30 tahun.

Orang pejabat bancuh simen…

Tukul dipalu, bata diangkut, papan disusun, nasi ditanak, ayam direbus. Semua kerja ini dilakukan secara bergotong-royong. Kelat-kelat pucuk betik, tidak kelat mengukir senyum.

Dengan tenaga empat kerat 15 sukarelawan Impian Sarawak bersama kira-kira 20 penduduk kampung yang bergilir-gilir bersama membaik pulih Rumah Gawai ini, maka, malam Gawai Kampung Serikin akan kembali meriah bagi tahun depan.

Menurut Pengerusi Rumah Gawai Kampung Serikin, Ragin Anak Noit, 62, usaha yang dilakukan Impian Sarawak ini amat bermakna buat komuniti mereka.

“Di sini ada 200 keluarga dan 42 keluarga masih berpegang pada adat lama. Rumah Gawai ini memang akan memberi kegembiraan untuk mereka. Saya ucapkan terima kasih kepada DAP dan Impian Sarawak sebab membantu kami,” kata beliau.

Hampir semua sukarelawan Impian Sarawak kali kedua ini teruja kerana aktiviti gotong-royong bersama masyarakat Kampung Serikin memberi satu pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.

“Aktiviti gotong-royong bina Rumah Gawai ini memberi saya pengalaman yang berharga. Kalau dulu saya hanya duduk di pejabat. Hari ini saya berpanas membancuh simen, angkat kayu dan macam-macam. Pertama kali saya terbabit dengan aktiviti seperti ini,” demikian kata Elian Woo yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Semata-mata mahu terbabit dalam aktiviti kesukarelawan dan mengenali masyarakat kampung di Sarawak dengan lebih dekat, Joshua, 20 yang berasal dari Kuala Lumpur gembira dan berpuas hati.

“Orang di sini ramah dan mesra, saya berbangga dapat menyertai program sukarelawan yang dianjurkan Impian Sarawak,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai dapat mendaftar sebagai sukarelawan Impian Sarawak kerana melalui cara begini, jurang pemahaman antara masyarakat bandar dan luar bandar dapat didekatkan.

Pandangan yang serupa turut diluahkan Chu Yin Harn, 25, yang menjadi sukarelawan Impian Sarawak buat kali kedua.

“Sebelum ini saya hanya mendengar apa yang berlaku di Sarawak. Sekarang saya dapat lihat sendiri dan dapat membantu mereka,” ujar beliau.

Bagi Johari Anak Bomo, 36, DAP melalui Impian Sarawak telah membuka mata sebahagian daripada kelompok masyarakat terutamanya masyarakat pedalaman terhadap parti itu.

“Kalau orang tua, memang susah, mereka hanya nampak dacing (BN) dan bila DAP masuk, beri khidmat, orang baru dapat fikir.

“Kita selalu beritahu orang kampung, kerja ini sepatutnya dibuat kerajaan dan bukan parti politik. Tetapi DAP sudah buktikan komitmennya untuk buat perubahan di Sarawak,” ujar beliau yang juga pernah terbabit dalam projek Impian Sarawak pertama membina sistem air graviti di Kampung Sait.

Seindah orangnya, begitulah Kampung Serikin

Rumah Gawai Kampung Serikin dibuka dengan rasminya oleh Ketua Adat Gawai bersama tiga orang pembantu beliau dalam upacara yang dinamai Pisian.

Antara pimpinan DAP yang hadir ialah Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua; Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen; Ahli Dewan Negeri (ADN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San; Ahli Parlimen DAP Stampin, Julian Tan Kok Ping, Pengerusi DAP Tasik Biru, Mordi Bimol dan seorang JKKK Kampung Serikin, saudara Jipis.

Bunyi gong lalu berdengung memecah riuh rendah penduduk kampung yang semakin ramai. Ketua Adat bersama pimpinan DAP masuk ke rumah dan mengambil seekor ayam jantan.

Ayam hidup itu dipusing-pusingkan di hadapan dua tampi yang diisi beras, ayam bakar, air putih, akar sintok dan beberapa lagi bahan tertentu dengan iringan mentera.

Setelah itu, ayam diletakkan di tepi dan beliau bersila menghadap tampi-tampi di hadapannya sambil terus membacakan mentera. Akhirnya beliau membakar seutas akar sintok yang mengeluarkan asap kemudian diselitkan pada tingkap Rumah Gawai sambil merenjiskan air di kawasan sekitar.

Menurut Mordi, upacara turun temurun ini juga dinamakan ‘Gawai Rumah’ untuk memasuki rumah baru. Ia adalah simbol kepada kesyukuran dan memohon restu semangat agar penghuni dan penduduk kampung makmur, selamat dan sejahtera.

Majlis turut dimeriahkan dengan jamuan dan persembahan kugiran yang dijemput khas.

Difahamkan bahawa acara ini merupakan aktiviti pertama yang pernah dianjurkan DAP.

“Sebelum ini ketika kempen memang masuk tapi kita tak pernah buat majlis seperti ini. Saya rasa bangga dan terkejut dengan kerjasama yang diberikan penduduk Kampung Serikin kerana hadir beramai-ramai memeriahkan majlis yang dianjurkan parti,” demikian kata Pengerusi DAP Tasik Biru, Mordi Bimol yang juga bekas calon DAP Parlimen Mas Gading.

Beliau berpendapat, usaha DAP melalui Impian Sarawak ini perlu diteruskan demi memberi khidmat kepada masyarakat luar bandar yang seolah-olah dipinggirkan kerajaan BN yang memerintah.

“Kita mahu masyarakat lihat bahawa DAP komited dengan agenda perubahan. Walaupun Pakatan Rakyat belum memerintah, tetapi dengan sumbangan ini masyarakat dapat menilai,” ujar beliau.

Semangat gotong-royong dan kemesraan yang ditunjukkan penduduk kampung dan sukarelawan adalah bukti setiap kelompok masyarakat saling perlu memerlukan. Bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Krew publisiti DAP dan Roketkini.com pulang ke Kuala Lumpur keesokkan harinya dengan merakam saat indah yang tidak dapat dilupakan. Alunan gong yang dipalu masih terngiang-ngiang. Lagu Anak Kampung oleh Jimmy Palaikat yang dimainkan kugiran malam itu terus mengukir senyuman tidak dilupakan. Terima kasih orang Serikin! Sampai kita bersua kembali.-Roketkini.com