Budaya

Perkauman, Diskriminasi dan Berbudaya – Mahdzir Ibrahim

BUKAN hanya mereka yang tidak bersekolah tinggi atau miskin, siapa jua yang berpendidikan, status hidup atau yang beragama, juga terdedah dengan sikap perkauman, prejudis atau diskriminasi antara kaum atau golongan. Dengan kata lain, mereka ini tidak akan terselamat daripada sikap berkenaan.

Kepercayaan seseorang tentang keistimewaan atau kelebihan pada sesuatu bangsa atau kaum (termasuk kaum sendiri) bukan suatu perkara yang salah. Ia tiada apa-apa nilai pada apa-apa atau mana-mana komuniti.

Jika saya nak rasa Melayu itu hebat, hebatlah. Jika kaum India merasa kaumnya istimewa, juga tiada masalah. Tiada siapa boleh mempertikaikan kepercayaan saya atau sesiapa.

Tetapi apabila adanya tindakan atau aksi daripada kepercayaan saya itu, baik dengan ungkapan kata-kata atau tindakan secara fizikal ke atas seseorang, maka barulah ia dinilai sebagai – rasis. Jika ada body contact, maka ia dianggap jenayah.

Dalam faham Nazi, ‘faham’ bahawa kaum yang digelar sebagai Aryan itu, sebagai kaum yang sempurna, tinggi statusnya atau istimewa jenisnya, bukanlah suatu kesalahan moral atau jenayah kepada sesiapa pun.

Ia hanya idea yang diambil sebagai suatu kepercayaan penganutnya. Tetapi, kepercayaan ini (nazi) menjadi virus hingga lahirnya fahaman politik, sikap politik, tindakan politik dan keputusan politik, maka daripada semua aksi daripada kepercayaan ini, jadilah ia suatu dasar yang memberi kesan fizikal kepada orang ramai.

Mein Kampf (Perjuangan saya), Hitler mengembangkan teori politiknya selepas memerhatikan dengan teliti dasar Empayar Austria-Hungary. Beliau percaya bahawa kepelbagaian etnik dan linguistik telah melemahkan bangsanya dan dia juga melihat demokrasi sebagai kuasa yang boleh menggugat kestabilan politiknya.

Daripada sinilah, aksi politik Nazinya bermula. Dan selebihnya, Nazi tinggal sebagai sejarah hitam di benua eropah.

Inilah beza antara kepercayaan dengan hukum moral, samada yang diucap atau dizahir dengan pelbagai bentuk.

Kita di sini juga mungkin sering atau sekurang-kurangnya pernah mendengar ungkapan kata-kata…

1. “Buat apa kau beli dengan Cina, kan orang ‘kita’ ada, kenalah tolong orang kita”.

ATAU

2. “Baik aku upah mekanik (bengkel) Cina, Melayu buat lambat, tak boleh tawar-menawar pula tu”

Ungkapan ini pada hakikatnya bukan satu tindakan ofensif atau perkauman secara langsung atau dengan niat. Tetapi, apabila kita membaca daripada senario atau konteks ungkapan ini dizahirkan, ia menunjukkan ada aksi yang menjurus kepada tindakan diskriminasi, prasangka dan prejudis kepada pihak peniaga, samada kepada peniaga kaum Cina atau peniaga kaum Melayu.

Kedua-duanya kenyataan ini adalah sikap rasis. Dan sikap rasis ini diterjemahkan dalam konteks ekonomi.

Ungkapan ini real. Kata-kata ini daripada mereka yang mampu berbelanja, yakni mereka terbabit secara langsung dalam aktiviti ekonomi semasa. Mampu beli kereta bermakna mempunyai pendapatan dan pekerjaan yang baik, dan umumnya juga mereka ini punya pendidikan. Ini real yang pertama.

Real keduanya adalah, ungkapan di atas juga menjadi fakta bahawa ada peniaga Melayu yang keciciran atau lemah dalam berniaga yakni yang perlu dibantu (respon normal kepada pihak yang lemah). Dan di satu situasi lagi, ada kaum Cina yang cekap membaiki kenderaan malah sanggup pula tawar-menawar tetapi didiskriminasikan oleh kerana ‘Cina’nya.

Ungkapan pertama mungkin dengan niat yang baik, mahu membantu peniaga (mekanik) Melayu – yang lemah/kerdil. Adakah niat ini salah? Atau, niatnya yang baik itu tetapi diterjemah secara salah?

Begitu juga dengan ungkapan kedua, adakah semua mekanik Melayu buat kerja lambat (tidak cekap) membaiki kereta? Atau peniaga Melayu tak pandai tawar-menawar?

Adakah semua ini adalah masalah ‘kaum’ atau masalah kemahiran/kebolehan berniaga?

Bila kita soal kembali kepada mereka ini, maka jawabnya “aku tak ada niat nak rasis atau prejudis”, tetapi walau tanpa ada niat berlaku rasis sekalipun, ia tetap dinilai sebagai satu sikap rasis kerana ada aksi dari kata-kata itu. Dalam konteks ini, aksinya adalah – urusniaga. Dan ini, akan tumbuh dan membudaya dalam masyarakat – budaya rasisme.

Paling bahaya, manifestasi daripada sikap rasis bangsa Malaysia, ia akan berakar dan membenam dalam jiwa hingga kita tidak dapat untuk membezakan antara kecekapan, kemahiran, kebolehan, pengetahuan seseorang dengan warna kulit atau bangsanya. Nilai pada kemahiran atau pengetahuan seseorang itu sudah tidak bernilai kerana hukum rasional sudah rosak.

Apabila rasional akal sudah rosak, apa jua latar pendidikan, apa jua ideologi, apa jua parti politik, taraf jawatan, keturunan atau agama anda, ia tidak akan memberi apa-apa makna dan faedah kepada sesiapa pun. Untuk jadi khalifah di muka bumi ini, kena rasional bukan?

MAHDZIR IBRAHIM, AHLI JAWATANKUASA PEMUDA SOSIALIS DAP (DAPSY), JUGA PEMINAT SENI DAN KEBUDAYAAN.