Berita

Ketua Pembangkang DUN Johor selar polisi perumahan negeri

JOHOR BAHRU, 26 NOVEMBER: Ketua Pembangkang DUN Johor, Dr Boo Cheng Hau membangkitkan nasib Melayu Johor yang tidak mampu memiliki rumah sendiri walaupun Johor dikatakan kubu kuat parti pemerintah, Barisan Nasional (BN).

Dalam ucapan beliau ketika membahas belanjawan negeri Johor (link:http://drboochenghau.blogspot.com/2013/11/ucapan-perbahasan-bajet-negeri-johor.html), Dr Boo yang juga Pengerusi DAP Johor mempersoal dasar perumahan yang diamalkan pihak Kerajaan Negeri Johor sehingga menyusahkan orang Melayu Johor untuk memiliki rumah.

Pelepasan hartanah kuota Bumiputera dikenakan levi 7.5% bukan sahaja menjejaskan ekonomi, bahkan tidak membantu kalangan Bumiputera memiliki rumah. Kos 7.5% levi ini akan dipulangkan kepada bahu pembeli rumah Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Orang Melayu Singapura mampu membeli rumah banglo di Nusajaya tetapi orang Melayu Johor tidak mampu memiliki rumah di rantau sendiri,” ujar beliau yang juga ADUN Skudai.

“Seperti yang dikatakan, saya sendiri sejak tahun 1990an bahkan komen saya pernah diterbitkan oleh Berita Harian secara positif bahawa kuota Bumiputera dan Kuota Menegak Kerajaan (KMK) bukan sahaja tidak membantu kalangan berpendapatan rendah khasnya pekerja Bumiputera memiliki rumah, kos pemaju berlebihan akan menjejaskan nilai hartanah di bawah kuota Bumiputera,

“Oleh itu, diskaun dan levi pelepasan kuota perumahan Bumiputera sepatutnya diganti dengan dasar menambahkan rumah mampu milik, kos rendah dan sederhana,” kata beliau lagi.

Malah Dr Boo berkata, Kerajaan Negeri Johor sepatutnya bertanya kenapa orang Melayu di seberang Selat Tebrau mampu memiliki rumah dengan harga yang berkali ganda lebih tinggi daripada Johor Bahru?

“Jika dikatakan mereka tertindas oleh Kerajaan seberang Selat Tebrau, kenapa di sebaliknya orang Melayu di seberang Selat tidak berhijrah ke sebelah sini?” ujarnya sinikal.

“Saya ingin mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri menerima nasihat pihak Pakatan Rakyat yang berpendirian komited dalam usaha membina rumah kos rendah dan mampu milik dengan membabitkan syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun termasuk JCorp, KPRJ, YPJ dan Perbadanan Islam Johor.

Dr Boo turut mencadangkan supaya suatu Lembaga Perumahan Negeri Johor ditubuhkan untuk menyeleraskan usaha membina rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik demi kebaikan sejagat rakyat negeri Johor. – Roketkini.com