Berita

Skandal rasuah Fat Leonard, Pelabuhan Klang destinasi utama sindiket penipuan, rasuah

KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER: DAP menggesa kerajaan memandang serius skandal rasuah Fat Leonard di Pelabuhan Klang kerana ia membabitkan ketenteraan negara.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, skandal itu membuktikan kegagalan pengurusan dan penguatkuasaan di Pelabuhan Klang sehingga menjadi pusat sindiket penipuan.

Menurutnya, laporan media antarabangsa baru-baru ini mendedahkan dokumen mahkamah di Amerika Syarikat bahawa lawatan kapal perang USS George Washington ke Pelabuhan Klang pada Oktober 2012 adalah sebahagian daripada rancangan penipuan Fat Leonard membabitkan pegawai kanan dalam US Navy.

“Saya memohon kerajaan menjawab dan melaksanakan lima perkara dengan serta merta berikutan pendedahan ini iaitu menyatakan berapa nilai urusniaga dan jenis urusniaga antara Glenn Defence Marine Asia (GDMA) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memastikan tiada elemen rasuah, pecah amanah dan rahsia ketenteraan negara.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga patut menyiasat agar dapat membersihkan nama Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan.

“Memandangkan Kementerian Pertahanan menyatakan lawatan itu adalah peluang ekonomi kepada Malaysia, saya ingin tahu berapa bayaran dockage, wharfage dan yuran lain yang dibayar USS George Washington ketika mendarat lima hari di Pelabuhan Klang dan apa keuntungan kewangan lain yang diperoleh serta siapa syarikatnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan, berkata kerajaan juga perlu menghentikan pelbagai urusan dengan syarikat berkaitan Fat Leonard sehingga satu siasatan penuh dilakukan.

Beliau juga menggesa kerajaan mengeluarkan satu kertas putih kepada seluruh rakyat Malaysia untuk penjelasan lanjut termasuk hasil siasatan skandal Fat Leonard.

Terdahulu akhbar tempatan dan antarabangsa melaporkan, seorang rakyat Malaysia bernama Glenn Francis Leonard atau dikenali ‘Fat Leonard’ pemilik GDMA terbabit dalam kes rasuah membabitkan pegawai kanan dalam angkatan tentera laut Amerika Syarikat.

Media antarabangsa menggelar perkara ini sebagai skandal rasuah paling besar dalam sejarah Navy Amerika Syarikat. Dipercayai sejak 2011, GDMA dberi kontrak bernilai US$200 juta (RM640 juta) oleh Navy Amerika Syarikat.

Laporan The Star, menyatakan bahawa antara modus operandi Fat Leonard ialah mengalihkan kapal perang Amerika Syarikat di rantau ini untuk berlabuh di ‘pearl ports’ seperti Phuket, Thailand dan Pelabuhan Klang, Malaysia.

“Ini adalah tamparan dan penghinaan ke atas Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang begitu yakin menolak kecaman Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mempertikaikan tindakan kerajaan membenarkan kapal perang Amerika itu berlabuh di Pelabuhan Klang.

“Zahid mendakwa kunjungan USS George Washington adalah untuk meningkatkan hubungan dua hala dan diplomasi ketenteraan padahal ia suatu skandal penipuan dan rasuah.

“Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Abdul Latiff Ahmad juga menyatakan lawatan USS George Washington adalah peluang ekonomi untuk Malaysia. Namun jelas, ia adalah peluang ekonomi untuk Fat Leonard,” tegasnya. -Roketkini.com