Berita

Kenaikan cukai taksiran: DAP kecam kenyataan bercanggah kementerian

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng mengecam kenyataan bercanggah Kementerian Wilayah Persekutuan berhubung kadar baru cukai taksiran Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kenyataan itu tersiar dalam dua akhbar iaitu The Star dan News Straits Times (NST) baru-baru ini melaporkan dua pandangan berbeza dalam tempoh sama.

Menurutnya, percanggahan itu menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan ‘flip flop’ Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Mulanya dilaporkan menerusi The Star kenaikan cukai taksiran itu seperti diputuskan Tengku Adnan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2014, tapi pada hari sama NST melaporkan Kementerian tidak akan menaikannya.

“Ini jelas sekali bercanggah dan mengelirukan. Saya minta tolong beri penjelasan tepat, warga kota ingin tahu nak naik ke tak nak naik? Atau tidak akan dilaksanakan?,” katanya ketika mengemukakan soalan dalam perbahasan sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Beliau turut menyelar tindakan Tengku Adnan yang mengenakan syarat tambahan terhadap permintaan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) Kuala Lumpur untuk melihat Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.

“Ketika perjumpaan dengan Menteri, kami (PR) meminta supaya diberikan Draf Bandaraya Kuala Lumpur 2020 sebelum ia diwartakan tapi jawapan beliau ‘kita akan bagi jika Ahli Parlimen menandatangani perakuan Akta Rahsia Rasmi (OSA)’.

“Saya ingin bertanya kenapa perlu gunakan OSA? Tindakan ini adalah satu penghinaan kepada Ahli Dewan Rakyat. Kami bukan minta draf itu untuk dijual macam jual surat khabar lama. Kami minta sebab ia adalah kepentingan ramai terutama warga kota.

“Draf itu perlu diberi segera, ia harus diserahkan di atas meja kami esok,” tegasnya. -Roketkini.com