Berita

Majlis Perundingan Perpaduan Nasional: “Kerajaan jangan syok sendiri” – Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER: Majlis Perundingan Perpaduan Nasional perlu diberi ruang lebih luas untuk membincang dan menilai semula dasar kerajaan yang menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat.

Menurut Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran, perubahan perlu dilakukan melalui keazaman politik oleh kerajaan untuk menjayakan hasrat itu.

“Adakah Najib boleh menerima segala cadangan dasar yang baik oleh majlis ini jika ia bertentangan dengan keputusan dan dasar kerajaan?

“Jangan cakap syok sendiri sahaja kalau kerajaan tidak menunjukkan keazaman mereka untuk melakukan perubahan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggariskan tujuh perkara dasar penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional antaranya memperbanyakkan program yang membabitkan segenap lapisan kaum.

Najib juga mendedahkan bahawa kerajaan menganjurkan ‘pesta durian’ selepas Peristiwa 13 Mei untuk menyatukan rakyat dan mencadangkan agar majlis itu memperbanyakkan penganjuran program membabitkan alam sekitar, sukan dan kesihatan.

“Walaupun saya bersetuju sesetengah program mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum melalui interaksi dan sebagainya, kita juga mahu tahu bagaimana Jabatan Perpaduan sendiri mengimplementasikan perkara ini,” ujar beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw sebelum ini pula dilaporkan berkata, langkah untuk memupuk semangat perpaduan perlu dibuat tanpa ada bias sentimen berbaur perkauman.

“Perpaduan mestilah berteraskan kepada dasar dan kenyataan yang tidak menyebelahi sesuatu kaum, agama atau wilayah semata-mata,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Kepong.

Perpecahan kaum di kalangan rakyat Malaysia dilihat semakin parah setelah Pilihan Raya Umum ke-13 apabila kerajaan BN dilihat sengaja menutup sebelah mata terhadap tindakan melampau beberapa pertubuhan radikal berteraskan perkauman seperti PERKASA, JATI dan ISMA.

Malahan, lebih malang lagi, akhbar Utusan Malaysia yang menjadi lidah utama kerajaan dan UMNO tidak teragak-agak terus membakar sentimen perkauman dengan laporan muka utama mereka “Apa Lagi Cina Mahu” pada 7 Mei 2013 lalu.-Roketkini.com