Berita

PR tekad usaha tingkat sokongan rakyat Sabah – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan Rakyat (PR) perlu berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan sokongan rakyat Sabah, negeri yang mempunyai 26 kerusi Parlimen, termasuk Labuan.

Katanya, Sabah secara logiknya adalah negeri paling bersedia untuk menerima perubahan kerana negeri itu berdepan dengan banyak masalah, termasuk tahap korupsi, salah urus, dan kemiskinan yang tinggi, selain kekurangan peluang kerja dan kebanjiran pendatang haram yang dikaitkan dengan masalah sosial dan keselamatan.

“Walaupun rakyat Sabah dipinggirkan dan kekayaan sumber negeri dirompak kerajaan Barisan Nasional (BN), Sabah terus kekal di tangan UMNO/BN, PR tidak harus berputus asa melihat keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), sebaliknya perlu menggandakan usaha untuk menembusi kawasan luar bandar Sabah.

“Kita perlu memenangi hati rakyat Sabah dengan membuktikan keikhlasan dan komitmen kita terhadap penduduk desa, serta membuktikan menerusi perbuatan bahawa kita tidak akan mengabaikan hak dan keperluan mereka,” katanya ketika melancar kempen Impian Sabah di Ibu Pejabat DAP, hari ini.

Beliau berkata, Impian Sabah, seperti juga Impian Sarawak adalah sebahagian daripada komitmen DAP untuk mengejar Impian Malaysia bagi membentuk negara Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

“Walaupun Sabah adalah antara negeri paling kaya sumber alam, selain pernah mencatatkan rekod pendapatan per kapita paling tinggi pada tahun 1970an, negeri ini kini mencatatkan kadar kemiskinan paling tinggi dalam negara.

“Sehingga tahun 2010, 43% daripada rumah di Sabah belum mendapat bekalan air bersih atau air terawat dan 20% tiada bekalan elektrik.

“Tiada jalan lebih baik untuk mengurangkan beban penduduk desa yang terpinggir serta hidup miskin dan melarat itu melainkan dengan turun ke bawah. Maka, inilah waktu terbaik untuk melancarkan “Impian Sabah” untuk menghantar “ejen-ejen Impian Malaysia” ke pelbagai kampung di Sabah bagi mengubah kehidupan penduduk kampung,” tambahnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, keputusan untuk membekalkan sistem bekalan air berasaskan graviti ke Kampung Samaritan Laut yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Marudu adalah penting kerana kerusi itu dipegang Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dr Maximus Ongkili.

Katanya, lebih penting kerana Dr Ongkili menang di Kota Marudu dengan majoriti hanya 842 undi setelah meraih 15,168 undi dalam pertandingan empat penjuru iaitu Mahap mendapat 14,326 undi, calon STAR, Majamis Timbong (2,228), manakala Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) (444 undi).

“Jika STAR tidak memecahkan undi, Pakatan Rakyat tentu memenangi kerusi itu. Justeru itu, tenaga mesti dikerah untuk merebut kerusi marginal bagi memastikan PR menang pada PRU akan datang.

“Kejayaan kempen Impian Sabah dan Impian Sarawak dalam memenuhi keperluan yang paling mendesak bagi rakyat bukan saja akan menyumbang ke arah usaha menawan Putrajaya, malah ke arah mencapai Impian Malaysia, sebuah masyarakat majmuk yang anggotanya bersatu-padu sebagai satu bangsa, melampaui latar kaum, agama, budaya dan bahasa,” katanya.

Pada PRU-13, PR mensasarkan 33 kerusi daripada tiga negeri “deposit tetap” UMNO/BN iaitu Johor, Sabah dan Sarawak.

Menurut Kit Siang, PR gagal mencapai sasaran dan hanya memenangi 14 kerusi di negeri berkenaan, dengan tiga daripadanya kerusi Parlimen di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Penampang.

Bagaimanapun, katanya, PR berjaya “menghancurkan” label “deposit tetap” pada Johor dan Sarawak menerusi peningkatan besar jumlah undi keseluruhan.
Di Johor, undi popular PR meningkat sebanyak 10% kepada 45%, manakala di Sarawak peningkatan sebanyak 8.9% kepada 37.3%.

Bagaimanapun, undi popular PR di Sabah hanya meningkat sebanyak 3.4%, iaitu kepada 35.9%.-Roketkini.com