Berita

Pulau Pinang tuntut PM kota janji bina LRT atau MRT – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 27 NOVEMBER: Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang menuntut Kerajaan Pusat mengotakan janji bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak untuk membina dan membiayai sistem perkhidmatan LRT atau MRT dalam usaha mengurangkan kesesakan lalulintas di negeri Pulau Mutiara itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri sudah menghantar surat kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya menyediakan pengangkutan awam alternatif memandangkan kenderaan yang keluar masuk ke negeri ini semakin bertambah dan kesesakan lalulintas kian meruncing.

Katanya, walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih cenderung untuk mengadakan sistem ‘tram’ tetapi bersedia menerima sistem pengangkutan yang dipilih dan dibiayai Kerajaan Pusat.

“Kerajaan negeri berharap janji mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib sendiri untuk membina dan membiayai sistem perkhidmatan LRT atau MRT dapat ditunaikan,” katanya mengikut surat bertarikh 26 November yang dihantar kepada Hishammuddin

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan negeri menerima pelbagai tawaran daripada syarikat dalam dan luar negara untuk melaksanakan projek pengangkutan awam alternatif di Pulau Pinang.

Menurutnya, kerajaan negeri sedia bekerjasama dan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan bagi merealisasikan kewujudan pengangkutan awam alternatif di Pulau Pinang bagi mengurangkan kesesakan lalulintas yang dihadapi.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama dan jasa baik Hishammuddin untuk mempertimbangkan permohonan bagi menunaikan janji Pak Lah dan yang dibuat Najib sendiri.

“Atau sebagai alternatifnya, kementerian memberikan kuasa penuh kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengendali dan mengawalselia perjalanan sistem pengangkutan awam yang dipilih sebagai paling sesuai oleh kerajaan negeri.

“Saya bersedia untuk berjumpa dengan Hishammuddin bagi membincangkan perkara itu dengan lebih teliti,” katanya.