Berita

DAP baru sergah, JKR Sarawak melompat

KUCHING, 28 NOVEMBER: Projek ‘Impian Sarawak’ bukan sahaja berjaya membawa perubahan kepada kelangsungan hidup masyarakat pedalaman Bumi Kenyalang itu, malah berjaya memberi tekanan politik yang hebat kepada kerajaan negeri.

Projek ketiga Impian Sarawak di Rumah Gerik Ak Tom, di Betong; hampir empat jam perjalanan dari Kuching tidak dapat dilaksanakan kerana khabar lawatan ejen Impian DAP sahaja mengakibatkan pihak Jabatan Kerja Raya bergegas mahu membuat pemasangan paip ke kawasan itu yang tidak mempunyai bekalan air bersih selama lebih 50 tahun.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam perkongsian Facebooknya memberitahu demikian sambil berkata kerajaan baru sahaja sedar daripada lamunan setelah diasak dengan lawatan petugas DAP.

“Rumah panjang Rumah Gerik Ak Tom diabaikan selama 50 tahun lalu oleh kerajaan BN. Tetapi sebaik sahaja kami menetapkan rancangan untuk projek Impian Sarawak ketiga di sana, pihak kerajaan seolah-olah baru bangun daripada tidur,

“Akhirnya mereka mahu bertindak membuat sambungan paip air, daripada dimalukan pihak kami (Impian Sarawak),” ujar Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara sambil menambah bahawa inilah dia hasil kejayaan persaingan demokratik.

Hasil siasatan pasukan Impian Sarawak mendedahkan bahawa paip sambungan utama hanya terletak 290 meter dari kawasan rumah panjang terbabit.

Menurut penduduk, paip akan diletakkan hampir dengan kawasan mereka sebelum pilihan raya, namun akan lesap sebaik sahaja pilihan raya selesai.

Kerajaan sekadar membekalkan mereka dengan tangki air dan sistem tapisan air tetapi tidak memberikan sumber air sehingga penduduk terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian.

Laman Facebook rasmi DAP Malaysia ketika berkongsi kisah di sebalik projek yang tidak dijalankan ini berkata, “Kita akan pastikan supaya kerajaan menepati janji mereka supaya rakyat dapat menikmati bekalan air bersih, tidak kira sama ada dengan dana Impian Sarawak atau sebaliknya.” – Roketkini.com