Berita

Komplot bekas Pengerusi SPR kekalkan kuasa UMNO

KUALA LUMPUR, 28 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming menyifatkan tiga persempadanan semula yang dilakukan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika berkhidmat bukan untuk mengekalkan kuasa politik Melayu tapi mempertahankan kuasa UMNO/BN.

Beliau berkata, ia jelas terbukti apabila menggunakan persempadanan semula 2003 di mana keutamaan diberi untuk meningkatkan penguasaan dan dominasi UMNO/BN.

“Jika benar Abdul Rashid mahu mengekalkan dominasi politik Melayu, mengapa beliau tidak menambahkan kerusi Parlimen di negeri majoriti Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu ketika menjalankan persempadanan semula pada 2003.

“Kerusi Parlimen tidak ditambah di negeri ini walaupun bilangan pengundi di beberapa kerusi sudah tinggi seperti Tumpat dengan 69,948 pengundi, Kuala Terengganu (65,900), Kuala Kedah (73,942) dan Baling (72,387). Semua ini adalah kerusi majoriti Melayu.

“Sebaliknya, kerusi Parlimen ditambah di tempat yang jumlah pengundi jauh lebih rendah seperti Sungai Besar, di Selangor dengan hanya 30,361 pengundi,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Kian Ming, sebab kerusi Parlimen tidak ditambah di tiga negeri itu adalah berikutan keputusan baik yang dicapai PAS pada pilihan raya 1999.

Jelasnya, PAS telah memenangi lapan daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah, 13 daripada 14 kerusi di Kelantan dan semua lapan kerusi di Terengganu.

“BN takut lebih banyak kerusi ditambah di tiga negeri itu, ia akan memberi manfaat kepada pembangkang, khususnya PAS,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Abdul Rashid tidak menambah satu lagi kerusi Parlimen Gombak dan Kapar.

Katanya, Parlimen Gombak adalah kerusi 75 peratus Melayu dengan 88,751 pengundi pada 2003. Manakala, Gombak 57 peratus bersamaan 99,563 pengundi.

“Kawasan majoriti baru Melayu boleh ditambah di kedua-dua kawasan ini tetapi mengapa tidak dilakukan?

“Jelas terbukti, Abdul Rashid menerima arahan daripada BN ketika persempadanan semula 2003.

Abdul Rashid minggu lalu telah mengumumkan menyertai pertubuhan Perkasa dan menyatakan tujuan sama iaitu mengekalkan kuasa politik Melayu. -Roketkini.com