Berita

Ekonomi Melayu-Bumiputera lebih maju jika rakyat tolak UMNO – Mohd Ariff Sabri

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER: Takut, terima dan bersyukur dengan apa yang ada. Begitulah mentaliti feudalisme yang berjaya diterapkan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap golongan Bumiputera supaya terus bergantung harapan kepada kerajaan.

Paling menyedihkan, kelompok yang diracuni pemikiran mereka dengan idea itu akhirnya mendatangkan bala terhadap maruah dan jati diri bangsa sendiri.

“Hakikatnya, yang kaya dan kuat dan gemilang lagi terbilang ialah Melayu-Bumiputera terpilih, mereka yang bersekongkol dengan UMNO, ini memang terbukti,” kata Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Menurut beliau, gambaran UMNO dan kumpulan tertentu yang terus mendakwa orang Melayu, Bumiputera lemah, masih terkebelakang dalam pelbagai aspek, perlu perlindungan kerajaan seolah-olah menghina golongan itu sendiri.

“Jika begitu dakwaan mereka, kita nak tanya apa yang UMNO buat selama memerintah negara? Mengkaya sesama sendiri?

“Ramai orang Melayu berjaya tanpa bantuan UMNO. Saya percaya, orang Melayu dan Bumiputera akan lebih maju ke hadapan dasar pilih bulu dan diskriminasi yang menjadi budaya dalam UMNO,” katanya.

Mohd Ariff turut mempersoalkan kedudukan ekonomi masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan.

“Kedudukan ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak masih tercorot. Pada hal kita tahu bahawa dua negeri itu memang negeri kaya dengan pelbagai hasil bumi, tetapi dasar UMNO yang memiskinkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat Malaysia berhati-hati dengan permainan politik jahat UMNO-BN yang memanipulasi kedudukan ekonomi golongan Bumiputera negara ini.

“UMNO akan kata, jurang ekonomi yang wujud ini sebab orang Cina dan India dah ambil kekayaan orang Melayu.

“Inilah kerja UMNO yang sembunyikan tangan kotor mereka melaga-lagakan rakyat Malaysia. Orang Cina dan India boleh ambil kekayaan Melayu hanya jika Melayu UMNO yang bersekongkol dan membenarkan perkara ini berlaku. Jika tidak, mereka tetap boleh berjaya berkat usaha mereka sendiri. Begitu juga dengan ekonomi Melayu Bumiputera,” katanya lagi.-Roketkini.com