Berita

Amaran terhadap Mariam, satu lagi contoh salah guna kuasa KPN

KUALA LUMPUR, 2 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo kesal dan menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar berhenti mengugut kolumnis, Mariam Mokhtar dengan pendakwaan jenayah.

Beliau berkata, tindakan Khalid itu tidak wajar sama sekali dan ia jelas satu penyalahgunaan kuasa.

“Ini lagi satu contoh klasik bagaimana undang-undang hasutan boleh disalahgunakan untuk menyekat kritikan dan perbezaan pendapat.

“Sebagai KPN, beliau harus bersedia menghadapi kritikan terhadap cara pengendalian isu membabitkan kepentingan ramai. Jika Khalid tidak memahami perkara itu, letak saja jawatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Khalid baru-baru ini memberi amaran kepada Mariam dengan menyatakan ‘jangan menerbitkan artikel hanya untuk menarik orang ramai melawat laman web anda kerana ia boleh menjemput kami (polis) datang dan menangkap kamu’.

Beliau tidak senang dengan artikel kolumnis portal FreeMalaysiaToday itu ‘One Ideology, Two Reactions’ yang mempertikaikan layanan berbeza kerajaan terhadap Chin Peng dan Siti Aishah Abdul Wahad.

Menyelar tindakan itu, Gobind yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP berkata, ia amat menghairankan apabila KPN boleh ‘datang dan tangkap’ suspek hanya kerana berasa ada sesuatu tidak kena.

“Saya ingin bertanya, bagaimana dengan akuan berkanun yang dibuat terhadap amalan rasuah dan salah laku dalam kes Pulau Batu Puteh?

“Bagaimana pula dakwaan dibuat dalam akuan berkanun yang mungkin berkait dengan kes pembunuhan berprofil tinggi di Shah Alam baru-baru ini, malahan kedua-dua tertuduh dibebaskan?

“Apa terjadi kepada banyak serangan terbuka terhadap agama serta ucapan kebencian yang dibuat pelbagai pihak kebelakangan ini, ia jelas mewujudkan keresahan di kalangan rakyat? Mengapa KPN tidak rasa ‘terpanggil’ untuk menangkap mereka?,” soalnya. -Roketkini.com