Berita

Kerajaan laksana GST untuk hukum warga miskin

JOHOR BAHRU, 2 DISEMBER: Rakyat miskin adalah golongan yang akan terjejas teruk akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee pada Forum Bajet BN: Siapa Untung, Siapa Rugi di Johor Bahru, semalam.

Beliau berkata, melalui cukai regresif GST, golongan berpendapatan rendah akan lebih terbeban dan mengalami kesukaran berganda.

“Kalau kita lihat dalam Malaysia sekarang ini, masih ramai individu yang berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan, sebab itu kita membantah GST, kerana ia jelas menambah beban. Mengapa perlu meningkatkan beban rakyat?

“Kalau kerajaan kata semua negara sudah laksana GST, mengapa tidak kita? Biar saya ingatkan mereka, England, Singapura dan lainnya adalah negara maju, jurang pendapatan mereka tidak tinggi antara satu sama lain,” katanya.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP turut membidas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam yang mendakwa kos penjagaan kesihatan tidak akan terjejas melalui GST.

“Hospital tidak boleh kutip cukai daripada pesakit, itu betul tapi hospital masih perlu membayar GST bagi setiap perkhidmatan yang dibeli daripada pembekal.

“Jadi apabila hospital dikenakan GST, tidak mungkin harga ubat-ubatan atau perkhidmatan kepada pesakit tidak meningkat,” tegasnya.

Jelas Pua, sebagai contoh, dengan mengandaikan hospital adalah sangat baik dan membuat keputusan hanya memindahkan kenaikan kos secara mutlak kepada pesakit, maka harga ubat yang dijual akan meningkat daripada RM55 sebelum ini kepada RM58.

“Selepas pelaksanaan GST, hospital itu akan membayar harga ubat RM50 dicampur RM3 (enam peratus GST), secara tak langsung kosnya meningkat kepada RM53. Kita bimbang, kemungkinan harga ubat akan lebih meningkat daripada kadar.

“Jika hospital mengekalkan harga ubat kepada pengguna, maka hospital hanya akan membuat keuntungan sebanyak RM2 atau margin keuntungan 3.8 peratus. Pengecualian cukai tidak bermakna harga tidak akan meningkat,” ujarnya.

Antara panelis lain pada forum itu adalah Pengarah Eksekutif Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Urusan Ideas, Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang turut hadir memberi ucaptama dan merasmikan forum itu. -Roketkini.com