SEREMBAN, 2 DISEMBER: Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook menganggap kerjasama erat DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) adalah senjata utama yang membolehkan hegemoni Barisan Nasional (BN) berjaya dipecahkan di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau meminta semua wakil rakyat DAP Negeri Sembilan lebih gigih berkhidmat bagi memantapkan jentera serta organisasi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, ia perlu dilakukan supaya dapat memperkuatkan momentum di kalangan masyarakat termasuk di luar bandar.
“Semua wakil rakyat DAP memikul tanggungjawab yang berat sebagai pembawa obor perubahan.
“Proses perubahan politik ke arah sistem dua parti yang sedang dibentuk adalah hasil kerjasama antara DAP, PAS dan PKR dalam kerangka PR. Tanpa kerjasama ini, tidak mungkin hegemoni BN dapat dipecahkan.
“Walaupun jumlah kerusi PR di DUN Negeri Sembilan berkurangan daripada 15 kepada 14 kerusi, kita berjaya menafikan majoriti dua pertiga untuk dua penggal berturut-turut,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Anthony yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, berkata melalui keutuhan PR pada PRU-13 lalu, majoriti pengundi di kawasan bandar berjaya diyakini.
Bagaimanapun, faktor utama kawasan luar bandar kurang berjaya ditembusi adalah ketakutan yang sengaja dibangkitkan UMNO melalui isu perkauman sehingga menyukarkan PAS dan PKR.
Contohnya, katanya, ada di kalangan masyarakat Melayu Negeri Sembilan termakan dengan propaganda UMNO kononya orang Melayu akan kehilangan kuasa politik sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan dan pemimpin bukan Melayu DAP akan merampas kuasa Melayu.
“Sebelum PRU-13, saya berkali-kali mengulangi pendirian DAP bahawa kita tidak menolak kuasa politik Melayu. Kami hanya ingin tolak BN yang rakus kuasa dan rasuah.
“DAP tetap mendokong peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan bahawa jawatan Menteri Besar akan disandang seorang ADUN Melayu yang beragama Islam. Pendirian dalam hal ini tetap sama dan tidak berubah.
“Saya juga ingin tegaskan, masa depan masyarakat Melayu di seluruh negara akan lebih baik dan terjamin di bawah pentadbiran PR kerana dasar kita ialah untuk kesejahteraan rakyat, bukannya untuk sebilangan kecil golongan terpilih,” ujarnya yang juga Ketua Whip DAP.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada cadangan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang supaya Majlis Strategik PR ditubuhkan segera untuk memulakan persiapan menghadapi PRU-14.
“Majlis Strategi ini adalah satu usaha sangat penting bagi Negeri Sembilan terutama kepada PR agar dapat mengenalpasti, memutus dan menampilkan calon Menteri Besar sekurang-kurangnya dua tahun sebelum PRU-14,” tegasnya. -Roketkini.com