Berita

Insentif tertunggak, kerajaan abai kebajikan warga nelayan

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming menggesa kerajaan menjelaskan segera tunggakan bayaran insentif kepada warga nelayan yang tertunggak selama lima bulan.

Beliau berkata, melalui aduan yang diterima daripada nelayan Hutan Melintang, Pantai Remis, Sungai Besar dan Kuala Sepetang mendapati Kementerian Pertanian dan Industri Asas gagal menjelaskan bayaran subsidi sejak Julai lalu.

Menurutnya, subsidi tangkapan RM0.10 sekilogram dijanjikan kerajaan namun hingga kini, masuk kali kelima gagal ditepati.

“Insentif hasil tangkapan diperkenalkan untuk meringankan beban nelayan sejak 2011 setelah menaikkan harga diesel daripada RM1.00 kepada RM1.20 seliter.

“Ia kekal tidak berubah walaupun kerajaan menaikkan harga diesel sekali lagi pada Julai tahun ini daripada RM1.25 kepada RM1.45 seliter.

“Peruntukan sebanyak RM6.03 bilion dalam Bajet 2014 seharusnya memadai untuk menanggung bayaran kepada nelayan khususnya Jabatan Perikanan yang memperoleh peruntukan RM240 juta,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Beliau yang juga Penolong Bendahari Kebangsaan DAP menyatakan, berdasarkan kaji selidik persatuan nelayan, didapati jumlah tunggakan di Hutan Melintang mencecah RM1.31 juta.

Jelasnya, tunggakan RM1.31 juta itu merangkumi jumlah vessel kelas C2, C dan B termasuk 670 kapal yang masih beroperasi.

“Warga nelayan kini terpaksa menanggung tekanan hidup yang tinggi akibat kenaikan harga diesel, dasar pukat keroncong 38mm serta larangan mengupah buruh untuk menangkap ikan.

“Kini bayaran kementerian juga tertunggak, ini merupakan perkara yang wajib dielakkan kerana ia menjejaskan wibawa dan amanah kerajaan,” ujarnya.

Kor Ming turut mendesak kerajaan agar mengumumkan laporan pakar berkecuali ke atas dasar pukat keroncong 38mm.

“Tanpa laporan pakar berkecuali, warga nelayan tidak mempunyai keyakinan bahawa pelaksanaan dasar itu dapat membela sumber laut.

“Dasar itu wujud lebih 28 tahun sejak 1985 tetapi tetap tidak dilaksanakan,” tegasnya. -Roketkini.com