Berita

MB Selangor perlu jawab dakwaan tidak guna dana baiki jalan raya – Gobind Singh Deo

IMG_7833KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan mengapa kerajaan negeri tidak menggunakan dana untuk penyelenggaraan dan pembaikan jalan raya di negeri itu.

Beliau mengulas laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen semalam, menyatakan kerajaan negeri tidak menggunakan dana kerajaan Persekutuan yang diperuntukkan bagi tujuan itu.

Beliau berkata, memang ada rasa tidak puas hati di kalangan penduduk berhubung keadaan jalan raya, sama ada jalan negeri dan Persekutuan, di Selangor.

“Ia adalah masalah yang sering disampaikan kepada pentadbiran negeri. Jelas masalahnya bukan kerana tiada dana,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau meminta Abdul Khalid memberi penjelasan dan menyatakan masalah yang menyebabkan dana itu tidak digunakan.

“Menteri Besar kena respon kriktikan Ketua Audit Negara. Beliau perlu jelaskan mengapa dana yang tersedia tidak digunakan demi kebaikan rakyat.

“Beliau perlu nyatakan apa masalahnya, jika ada, dan apa rancangan untuk mengatasinya,” katanya lagi.

Menurut laporan itu, Selangor membelanjakan RM640.24 juta daripada RM1.14 bilion yang diterima bagi penyelenggaraan jalan raya negeri antara 2010 hingga 2012.

Ia turut menyatakan keputusan satu tinjauan membabitkan 545 penduduk di Klang, Gombak dan Shah Alam, yang menunjukkan 80 peratus daripada mereka tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya negeri itu.-Roketkini.com