Berita

Wanita DAP Selangor edar wisel di pandan dalam kempen kesedaran jenayah

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER: Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai jenayah dan ragut yang semakin berleluasa, Wanita DAP Selangor baru-baru ini mengadakan kempen pengagihan wisel di pasar pagi Taman Muda, Pandan.

Kempen pengagihan wisel itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Subang Jaya, Hannah Yeoh bersama ADUN Teratai, Tiew Way Keng; ADUN Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong dan 12 anggota Wanita DAP Pandan.

Wanita DAP Selangor dalam kenyataannya menegaskan, aktiviti itu bertujuan memberi amaran kepada orang ramai tentang keperluan menyedari masalah jenayah sekitar dengan segera meniupkan wisel jika ternampak atau menjadi mangsa jenayah.

Sebanyak 1,000 wisel diedar kepada pengunjung pasar, peniaga dan pelanggan kedai kopi di Taman Muda.

“Terdapat kelemahan sistemik yang wujud dalam pasukan polis, ia perlu diatasi segera. Hakikat bahawa hanya kira-kira 14 peratus polis yang terbabit secara langsung dalam pertempuran jenayah tidak memberi petanda baik bagi negara dan masyarakat amnya.

“Kami menuntut kerajaan meningkatkan bajet untuk disalurkan kepada polis supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan profesional,” katanya.

Wanita DAP Selangor turut menggesa kerajaan dan pihak polis agar lebih serius dalam menangani dan mencegah jenayah terutama membabitkan ragut dengan melaksanakan pembaharuan.

“Kuasa polis perlu disusun dan diperkemaskan semula supaya dapat mencegah serta memerangi jenayah dengan lebih berkesan,” ujar mereka.

Dalam kempen pengagihan wisel itu, seorang wartawan yang membuat liputan hampir menjadi mangsa penyeluk saku.

Lelaki yang dipercayai warga asing itu telah cuba mengambil dompet daripada beg beliau tetapi disedarinya membuatkan lelaki terbabit terus melarikan diri. -Roketkini.com