Berita

Roboh candi: Talibanisme jadi amalan UMNO/BN?

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER: Tindakan kerajaan negeri Kedah membenarkan perobohan candi di Lembah Bujang menimbulkan persoalan, sama ada Talibanisme sememangnya menjadi kebiasaan di bawah pemerintahan UMNO/Barisan Nasional (BN).

Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Pemuda Kebangsaan DAP, Satees Muniandy berkata, ini berikutan kejadian yang berlaku tidak sampai sebulan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meroboh kuil Hindu berusia 100 tahun.

“Kedua-dua insiden berlaku di kawasan yang ditadbir UMNO/BN. Ini timbulkan persoalan, jika Talibanisme sudah jadi kebiasaan mereka.

“Pemusnahan candi di Kedah itu tiada bezanya dengan Taliban yang meletupkan Patung Buddha Bamyan di Afghanistan. Kedua-dua peninggalan sejarah ini hilang buat selama-lamanya kerana kerakusan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Candi di Lembah Bujang berusia kira-kira 2,000 tahun itu dan menjadi bukti kewujudan tamadun Melayu terawal di Asia Tenggara.

Beliau bersama-sama Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy pada 1 Disember lalu, sempat melawat Candi Sungai Batu di Lembah Bujang, yang kini diroboh untuk projek perumahan.

Katanya, beliau dimaklumkan ketika lawatan yang perobohan dijalankan selepas Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda memberikan lampu hijau kepada pemaju, dengan alasan ‘tiada tapak sejarah di kawasan itu’.

Beliau turut menempelak kerajaan Kedah yang tidak konsisten dalam isu itu.

“Pada mula, ada Exco kata tidak tahu kewujudan candi itu, kemudian ada Exco yang katakan hanya lihat pokok kelapa sawit ketika memandu di sana.

“Saya hairan, bagaimana Exco Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri tidak tahu kewujudannya, sedangkan ia didokumentasi oleh Muzium Lembah Bujang,” katanya yang turut menyifatkan perobohan itu ‘amat menyakitkan hati’.

Semalam, kerajaan Kedah mengarahkan pemaju untuk menghentikan operasi perobohan itu, dipercayai berikytan bantahan meluas daripada pelbagai pihak.

Di mana Perkasa?

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan kehairanannya dengan sikap berdiam diri Perkasa berhubung isu ini.

“Ini adalah warisan sejarah ketamadunan Melayu. Adakah Perkasa tidak berminat dalam soal tamadun Melayu dan hanya menjadi alat politik UMNO?,” soalnya lagi.