Berita

Syarat baru jawatan Pembantu Awam JPA pinggir rakyat berkelulusan rendah

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempertikai tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengenakan syarat tidak munasabah terhadap kemasukan jawatan Pembantu Awam Gred H11.

Beliau berkata, syarat itu memberi masalah kepada pemohon kerana kebanyakkan mereka tidak berkelulusan baik.

Menurutnya, walaupun menyambut baik usaha menaiktaraf pekerja peringkat terendah, tindakan mewajibkan kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai syarat bukannya satu langkah terbaik.

“Syarat baru ini memberi banyak masalah. Buat masa kini, negara mempunyai kira-kira 17 peratus atau sejumlah 2.1 juta tenaga buruh yang hanya berkelulusan sekolah rendah.

“Kini dengan syarat baru itu, ramai pemohon dalam kategori ini akan terpinggir. Ini tidak adil kepada mereka,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan menegaskan, kelulusan PMR tidak diperlukan untuk jawatan peringkat itu walaupun mengikut skop gred baru.

Katanya, ia berikutan skop kerja jawatan yang hanya memfokuskan kepada kemahiran.

“Tugas ini langsung tidak memerlukan PMR. Jadi, saya menyeru kerajaan mengkaji semula dasar baru dan memansuhkan syarat kelulusan.

“Apa yang kerajaan patut lakukan ialah menyediakan peluang latihan kemahiran dan pengetahuan untuk mempertingkatkan keupayaan diri agar mereka dapat maju dalam kerjaya.

Pada 29 Oktober lalu, JPA mengeluarkan pekeliling yang mana menyatakan pekerja awam Gred R1 iaitu peringkat terendah akan diselaraskan bersama Penyelamat dan Pekerja Awam Khas.

Ketiga-tiga jawatan itu akan dikategorikan sebagai Pembantu Awam Gred H11.

Menerusi penyelarasan itu, peningkatan gaji daripada minimum RM731 dan maksimum RM1,797 kepada minimum RM837 dan maksimum RM2,613 sebulan.

Skop bidang tugas Pembantu Awam Gred H11 antara lain termasuk menyediakan tapak majlis, mengangkut barang, membersih, memotong rumput, dahan pokok, tugas lanskap dan penyelenggaraan kerosakan kecil. -Roketkini.com