Berita

Kerajaan Selangor digesa wartakan semua maklumat projek infrastuktur untuk rakyat

SHAH ALAM, 3 DISEMBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lau Weng San menggesa Kerajaan Selangor mewartakan setiap maklumat projek infrastruktur kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan, selaras dengan prinsip ketelusan yang diamalkan.

Berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata, ia bagi mengelak kebimbangan rakyat terhadap nasib mereka berikutan pelaksanaan projek itu.

“Beribu persoalan akan timbul, samada rumah dan tanah penduduk akan diambil, pampasan secukupnya akan dibayar atau mereka akan dipindah selepas ini.

“Bagi tanah dan rumah yang tidak diambil, mereka juga ingin tahu kesan buruk jika terpaksa hidup berjiran dengan projek berkenaan

“Rakyat Selangor rata-ratanya tidak menghalang projek pembangunan, cuma kekurangan maklumat mengenai projek yang dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, beliau juga meminta kerajaan meletakkan syarat yang ketat sebelum meuluskan sesuatu projek pembangunan yang akan dilaksanakan.

“Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) perlu meletakkan piawaian yang tinggi dalam mempertimbangkan permohonan.

“Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) pula perlu dijalankan oleh pihak yang bertauliah,” katanya lagi.

Beliau berkata, dokumen yang diperlukan bagi kelulusan pula wajib disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, serta mendapat pengesahan pihak ketiga berhubung maklumat yang disertakannya.

Beliau memetik laporan media berhubung perjanjian konsesi antara kerajaan Persekutuan dan Projek Lintasan Kota Sdn Bhd (Prolintas) bernilai kira-kira RM11.5 bilion, projek Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

“Kementerian Kerja Raya akan menubuhkan jawatankuasa penilaian untuk menilai samada Prolintas memenuhi dua syarat, iaitu miliki kekuatan teknikal dan kewangan mencukupi untuk melaksanakan projek itu.

“Mengapa kerajaan Persekutuan tandatangani perjanjian jika penilaian terhadap kekuatan teknikal dan kewangan Prolintas belum dinilai sepenuhnya,” tambahnya.

Memetik laporan Malaysiakini 17 Oktober lalu, penduduk di kawasan perumahan sekitar Cheras menggesa agar laluan SUKE dijajarkan semula supaya tidak membabitkan kawasan padat penduduk.

Menurut mereka, pembinaan lebuhraya itu akan menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk berikytan bunyi bising dan gegaran, selain menurunkan nilai hartanah di kawasan itu. -Roketkini.com