Berita

Henti jadikan SB alat kerajaan, segara laksana pembaharuan

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER: DAP menggesa kerajaan memperkasakan Unit Cawangan Khas Polis (SB) untuk melawan musuh negara dan jenayah jika benar mereka ikhlas mahu memerangi masalah keselamatan yang kian meruncing.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, pembaharuan berdasarkan Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin 2005 wajib dilakukan agar wibawa dan maruah SB dapat dipertingkat sebagai pelindung kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pelbagai laporan negatif terhadap salah guna kuasa SB oleh kerajaan termasuk yang dilaporkan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin, maka sudah tiba masanya reformasi dilakukan dalam badan risikan itu.

“Pembaharuan ini termasuk membentangkan sebarang piagam atau arahan berkaitan keselamatan negara di Parlimen sebaik sahaja arahan diberi.

“Sebuah laporan tahunan SB perlu dibentangkan kepada Perdana Menteri dan beliau seterusnya harus membentangnya di Parlimen.

“Di peringkat negeri, laporan SB perlu dibentang kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar dan Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Sim, aktiviti SB juga tidak boleh melanggar hak asasi manusia seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Sehubungan itu, pindaan perundangan terhadap Akta Polis wajar dilakukan untuk memasukkan peruntukan berkaitan SB termasuk fungsi, kuasa dan tanggungjawab.

Jelasnya lagi, pindaan itu bertujuan memantapkan profesionalisme SB dan memastikan ketelusan dalam operasi.

Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan turut memohon kerajaan mengkaji semula jumlah SB sedia ada.

“Mengikut laporan laman web New Mandala kendalian penyelidik dari Australian National University (ANU), saiz SB Malaysia adalah terlalu besar.

“Contohnya, pada 2003, jumlah pegawai SB di UK adalah seramai 4,247 orang dengan populasi penduduk 59.4 juta, bersamaan 1 SB kepada 14,000 penduduk. Manakala di Malaysia, pada tahun yang sama, terdapat seramai 5,037 orang pegawai SB dengan populasi penduduk 25.3 juta, bersamaan dengan 1 SB kepada 5,000 penduduk.

“Kini, ratio SB kepada penduduk Malaysia mengecil lagi kepada 1:3,500. Jadi jumlah ini perlu dikaji semula sekurang-kurangnya separuh daripada mereka patut disalurkan kepada jabatan lain dalam PDRM terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah,” ujarnya. -Roketkini.com