Berita

Pendidikan: Belanja besar, pencapaian tidak meningkat

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempertikaikan cara kerajaan membelanjakan peruntukan pendidikan negara yang sehingga kini gagal meningkatkan pencapaian pelajar ke tahap memuaskan.

Mengulas laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 yang dikeluarkan semalam, beliau berkata, setakat ini Malaysia masih menduduki tangga ke-52 daripada 65 negara.

“Laporan itu menunjukkan pelajar Malaysia mendapat markah di bawah purata bagi tiga kategori iaitu sains, matematik dan kebolehan membaca.

“Bagi kategori sains, pelajar Malaysia mendapat 420 markah, berbanding markah purata 501, manakala matematik dengan 421 markah (purata: 494) dan kebolehan membaca pula 398 (purata: 496).

“Pada 2009, Malaysia mendapat 422 markah bagi Sains, kebolehan membaca (508) dan matematik (404),” katanya dalam kenyataan media

Menurut Zairil, keputusan itu tidak terlalu memedihkan, jika ia tidak berdasarkan jumlah wang yang dilaburkan dalam bidang pendidikan saban tahun.

“Dalam belanjawan terbaru negara, sejumlah RM54 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, menjadikannya kementerian yang mendapat peruntukan terbesar.

“Malah, Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015 akui perbelanjaan pendidikan negara lebih dua kali ganda berbanding perbelanjaan purata negara serantau, serta lebih besar berbanding Korea, Hong Kong, Jepun dan Singapura,” katanya.

Sedangkan, katanya lagi, jelas bahawa perbelanjaan besar tidak akan menjamin keputusan yang lebih baik.

“Misalnya, keputusan UPSR terbaru menunjukkan penurunan dalam subjek bahasa Inggeris, walaupun kementerian belanja RM270 juta untuk mengupah firma perunding bagi membekalkan mentor bahasa Inggeris di sekolah.

“Maka, persoalannya bukan jumlah peruntukan, tetapi sama ada kita menggunakannya dengan betul,” kata Timbalan Setiausaha Publisiti DAP itu lagi.

Laporan kajian yang dijalankan Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi itu juga menunjukkan Malaysia di tangga lebih rendah berbanding negara serantau, seperti Vietnam (17) dan Thailand (50).

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap kaedah kerajaan membelanjakan peruntukan bagi pendidikan untuk tahun mendatang.

“Kerajaan berbelanja berbilion ringgit untuk projek besar seperti 1BestariNet, serta ‘1 Student 1 Device’ bagi pelajar sekolah seluruh negara.

“Kita masih tidak tahu sama ada pelaburan infrastruktur mewah akan meningkatkan pencapaian pendidikan. Namun, jika lihat kepada keputusan lalu, kita boleh pasti yang lebih banyak wang rakyat akan dibazirkan sementara masa depan anak-anak kita dikorbankan,” katanya lagi.-Roketkini.com