Berita

Kerajaan digesa pinda akta perlindungan suri rumah daripada HIV

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching menggesa kerajaan meminda Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi memberi perlindungan, terutama golongan suri rumah daripada dijangkiti HIV.

Beliau berkata, ia kerana golongan itu kini adalah kumpulan terbesar yang berisiko dijangkiti HIV yang kebanyakannya diperoleh melalui suami mereka.

“Ini menyedihkan…sudah tiba masanya kerajaan membuat sesuatu untuk menjaga kepentingan dan kesejateraan mereka,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Beliau memetik perangkaan terbaru yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, menunjukkan 3,857 daripada 10,228 mangsa jangkitan HIV adalah suri rumah, jauh lebih tinggi berbanding pekerja seks, yang seramai 621 orang.

Katanya lagi, pada masa ini, tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan seseorang diberitahu jika pasangannya didapati HIV positif.

“Piagam AIDS Malaysia yang dirangka Majlis AIDS Malaysia gariskan bahawa setiap individu bertanggungjawab untuk memaklumkan pasangannya mengenai status HIV mereka. Individu juga ada hak menolak perhubungan seks jika dia merasakan berisiko dijangkiti.

“Sudah tiba masanya kita jadikan tanggungjawab ini satu kewajipan mengikut undang-undang,” katanya lagi.

Beliau turut memberi beberapa contoh, di mana setiap individu diberitahu jika pasangannya HIV positif.

“Di Michigan dan Indiana, individu HIV positif diwajibkan memaklumkan hal itu kepada sesiapa yang pernah berhubungan seksual dengannya. Di Texas dan beberapa negeri lain, doktor dan pegawai perubatan dimestikan memaklumkan pasangan seks pesakitnya yang positif HIV,” katanya lagi.

Katanya lagi, jumlah wanita yang dilaporkan mengidap HIV meningkat dengan tinggi, daripada empat peratus kes baru pada 1995 kepada 12 peratus (2005) dan 18 peratus (2010).

“Maka, inilah masanya untuk penggubal dasar meminda akta itu bagi melindungi golongan suri rumah, yang biasanya datang daripada latar belakang sosio-ekonomi, di mana mereka tidak boleh berakta ‘tidak’ kepada suami mereka,” katanya lagi. -Roketkini.com