Berita

Tarif elektrik naik: TNB, IPP kaut untung, rakyat miskin menderita

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Kampar, Dr Ko Chung Sen mempertikaikan tindakan kerajaan yang menaikkan tarif elektrik secara keterlaluan.

Beliau berkata, tindakan itu yang kononnya bertujuan merasionalkan subsidi dan mengukuhkan kedudukan fiskal tidak munasabah kerana pada masa sama laporan TA Securities menunjukkan TNB bakal memperoleh keuntungan berlipat ganda.

Menurutnya, laporan bertarikh 3 Disember 2013 itu menyatakan TNB boleh meraih keuntungan tahun depan sebanyak RM5.016 bilion, meningkat daripada RM4.614 bilion tahun ini.

“Keuntungan ini berjumlah RM402 juta termasuk pampasan kos bahan api sebanyak RM1.12 bilion.

“Jika kenaikkan tarif elektrik sebanyak 14.89 peratus ini bertujuan mengurangkan beban subsidi, ia harus dinyatakan dalam defisit bajet bukannya pendapatan tahunan TNB.

“Mengapa keuntungan TNB harus mendapat faedah daripada kedua-dua pampasan kos bahan api daripada kerajaan dan kenaikan tarif yang dibayar pengguna?,” soalnya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Jelasnya, harga sasaran TNB juga dinaik secara mendadak iaitu 34 peratus bersamaan RM13.23 berbanding harga sebelum didagangkan RM9.89.

Beliau menambah, dalam bajet 2014, kerajaan juga meningkatkan peruntukkan LPG, diesel dan petrol kepada RM22.34 bilion berbanding sebelum ini RM20.015 bilion.

“Jadi mereka yang mendapat faedah sebenar menerusi ‘rasionalisasi subsidi’ ini adalah Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan TNB manakala rakyat miskin bertambah derita.

“Jika IPP dan TNB jika asalnya ditubuhkan untuk berkhidmat kepada rakyat, mereka harus berkongsi beban dengan mengurangkan lagi tarif daripada meningkatkan keuntungan dan menganugerahkan bonus besar kepada pengarah masing-masing.-Roketkini.com