Berita

PR himpun bantah kenaikan cukai pintu 16 Disember

KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER: Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan perhimpunan membantah kenaikan cukai pintu DBKL, di Dataran DBKL, di sini, 16 Disember ini.

Perhimpunan itu akan dimulakan kira-kira jam 11 pagi kerana membantah kenaikan cukai pintu secara mendadak sebagaimana yang diumumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor, baru-baru ini.

Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai berkata, perhimpunan itu juga bertujuan menuntut jawapan yang munasabah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutama justifikasi pada kadar kenaikan yang mencecah sehingga 300 peratus di sesetengah kawasan di ibu kota.

“Seperti yang diketahui umum, DBKL beroperasi dengan bajet lebihan untuk beberapa tahun, jadi DBKL harus memberi justifikasi jelas kepada rakyat mengapa perlu dinaikkan begitu drastik.

“DBKL dijangka memperoleh pendapatan RM400 juta daripada kenaikan itu, mengapa pula perlu wang tambahan?

“DBKL juga perlu membentangkan hasil cukai taksiran, cukai pintu dan hasil kadar kepada rakyat,” tegasnya pada sidang media, di Lobi Parlimen, hari ini.

Katanya, Bajet Wilayah Persekutuan yang akan dibentang pada minggu ketiga bulan ini mesti mempunyai pecahan lebih jelas dan khusus ke mana wang itu diperuntukkan dan bagaimana ia dibelanjakan.

Turut sama pada sidang media itu adalah Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah; Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok dan pimpinan lain.

Nurul Izzah menegaskan, permohonan maaf Tengku Adnan sebelum ini berhubung kadar kenaikan itu tidak mengubah hakikat bahawa ia tetap akan diteruskan mulai Januari depan.

“Kami menerima permohonan maaf beliau, namun ia tidak mengubah apa-apa kerana warga kota tetap terus terbeban. Jika bantahan tidak dibuat, kami yakin kenaikan cukai tentunya akan semakin bertambah.

“Jadi, kami menyeru seluruh warga kota menandatangani surat bantahan dan hadir pada perhimpunan itu nanti,” ujarnya. -Roketkini.com